29 July 2010

SUKAN PASTI KAWASAN PDG RENGAS


Sabtu
31.7.2010
9.00 pagi
Di Padang Awam, Kg. Tanah Merah, Lubuk Merbau
Jom Datang Beramai- Ramai

27 July 2010

GURU BERPOLITIK: Masih Banyak Isu Pendidikan Yang Belum Selesai

Tindakan kerajaan memberikan lesen kepada guru DG 41 dan DG 48 berpolitik sudah pasti mempunyai kesan positif dan negatifnya. Antara alasan yang diberikan ialah guru merupakan golongan yang dihormati oleh masyarakat dan boleh memainkan peranan dalam senario politik negara.


Namun, kebenaran ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana selama ini pun ramai dalam kalangan guru yang bergiat aktif dalam politik sama ada dalam apa jua parti sekali pun.

Walaupun ia jelas melanggari perintah am, namun yang dikenakan tindakan hanyalah guru- guru yang bergiat dalam parti- parti politik dalam Pakatan Rakyat. Guru- guru berkenaan walaupun menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam perkhidmatan namun semua itu tidak terkecuali daripada dikenakan tindakan tatatertib. Antaranya ditukarkan tempat kerja, ditahan kenaikan pangkat dan sebagainya.

Berbeza pula layanan yang diberikan kepada guru- guru yang bergiat aktif dalam UMNO/ BN. Mereka seringkali melakukan kerja- kerja politik dalam waktu persekolahan tanpa perlu mangambil sebarang cuti. Contohnya bila menghadiri Perhimpunan Agung UMNO, kursus- kursus UMNO yang dikendalikan oleh JASA dan sebagainya.

Guru- guru UMNO bebas keluar masuk sekolah atas urusan UMNO sehinggakan mengabaikan tanggungjawab sebenarnya di sekolah.

Pihak pentadbir hanya memejamkan mata kerana mereka ini mempunyai "kuasa" untuk menukarkan pihak pentadbir yang cuba mengambil tindakan terhadap mereka. Yang lebih menyedihkan lagi ada pihak pengetua/ guru besar sekolah yang menjadikan guru- guru UMNO ini sebagai anak emas untuk mendapatkan peruntukan daripada ADUN/ Ahli Parlimen BN untuk program- program sekolah. Akibatnya mereka sudah termakan budi dan tidak lagi mampu untuk mengambil tindakan di atas sebarang kesalahan guru- guru berkenaan

Pernah berlaku sebelum ini, di mana seorang pengetua di salah sebuah sekolah di daerah Kuala Kangsar telah ditukar 24 jam kerana tidak membenarkan kawasan sekolahnya digunakan oleh UMNO Bahagian Padang Rengas untuk menjalankan program.

Dalam usaha kerajaan yang ingin memartabatkan sistem pendidikan,  penglibatan guru dalam politik hanya akan menambahkan masalah pendidikan yang sedia ada. Masalah- masalah yang belum dapat diselesaikan seperti buta huruf, ponteng sekolah, buli, vandelisme, samsing, mat rempit, pelajar yang mengandung luar nikah, dadah, kurang ajar, merokok, pil khayal, hendonisme dan seribu satu masalah yang masih tertunggak perlukan perhatian khusus daripada guru terutamanya guru besar/ pengetua.

Dalam keadaan sekarang pun masalah tersebut gagal diselesaikan apatah lagi apabila guru- guru melibatkan diri dalam politik yang memerlukan komitmen masa tanpa mengira waktu. Sudah pastilah tumpuan terhadap sekolah akan berkurangan, mesyuarat parti sampai jauh malam, sekiranya program parti pada waktu sekolah sudah pasti guru- guru ini akan mengambil cuti.

Oleh itu, saya berpendapat penglibatan guru dalam politik lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan dalam sistem pendidikan negara walaupun mungkin mendatangkan keuntungan kepada sesebuah parti politik.


JANGAN TINGGALKAN ANAK SENDIRIAN DALAM KERETA

Kejadian yang berlaku tengahari semalam, apabila seorang bapa meninggalkan 2 orang anak perempuannya di dalam kereta di Kuala Kangsar. Malang tidak berbau, keretanya telah dirompak bersama dengan anak- anaknya.

Sekelip mata, sms daripada mangsa tersebar memohon bantuan orang ramai. Menurut sumber perompak berkenaan telah meninggalkan anak- anak mangsa di tepi jalan di Kampung Changkat Jambu, Kati. Menurut sumber, laporan menunjukkan bahawa kereta Honda Accord berwarna hitam yang dilarikan tersebut dikesan berada di sempadan Malaysia- Thailand.

Mudah- mudahan ia menjadi pengajaran kepada kita semua agar tragedi seumpama itu tidak berulang ke atas diri kita atau pun sesiapa sahaja.

Akibat daripada kelalaian sendiri mungkin akan menyebabkan kita menderita seumur hidup.

Hanya undang- undang Allah sahaja yang dapat menjamin keamanan dan kesejahteraan alam sejagat.

Kerana keangkuhan manusia menolak hukum ciptaan Allah, selagi itu jenayah dan kemunkaran bermaharaja lela di sekeliling kita.

26 July 2010

PEMBOHONGAN TERKINI UTUSAN MALAYSIA

Keikhlasan UMNO mencanangkan isu penyatuan UMNO- PAS hanyalah gimik politik semata- mata. UMNO diibaratkan seperti anjing yang sedang tersepit dan terkial- kial untuk melepaskan diri lalu mengharapkan ihsan sesiapa sahaja yang ada di depan mata untuk membantunya.

 

Mengharapkan rakan komponennya seperti MCA, MIC, PPP dan Gerakan untuk membantunya nampaknya menemui jalan buntu kerana mereka sendiri masing- masing sedang menghidap kudis buta yang semakin merebak.

 

Tiba- tiba teringat akan bekas rakan lamanya yang pernah diterajang keluar dari Perikatan/BN suatu ketika dulu iaitu PAS. Umpanan demi umpanan ditebarkan dengan harapan salah satu daripada umpannya akan mengena. Dengan isu kerajaan perpaduannya, dengan tawaran kebendaan dan jawatan, dengan isu Melayunya dan sebagainya.... sehingga kini belum ada umpannya yang betul- betul mendatangkan hasil.

 

Tidak cukup dengan peranan yang dimainkan oleh pemimpin- pemimpinnya, UMNO mempergunakan proksi- proksi lain selain saluran politik yang boleh dijadikan kuda tunggangan untuk menjayakan misinya.

 

Siapa sahaja yang dilihat boleh digunakan untuk kepentingannya, UMNO akan menjadikannya sebagai kambing hitam di barisan hadapan untuk bersemuka dengan PAS. Maka dipergunakanlah PERKASA yang kononnya memperjuangkan hak Melayu, Mufti Perak yang begitu HUSNU DZHON kepada UMNO serta media pro BN.

 

Ulasan- ulasan media pro BN yang memainkan isu penyatuan PAS- UMNO jelas membuktikan sejauh mana keikhlasan UMNO terhadap agenda penyatuan Melayu. Apa yang dipaparkan penuh dengan dusta, fitnah dan sampah yang hanya ingin memperlihatkan bahawa PAS sebenarnya tidak bersedia untuk bersatu.

 

Terkini, bagaimana Utusan Meloya memaparkan pendustaan yang tidak dapat di maafkan terhadap Mursyidul Am Pas.

 

Berikut adalah kenyataan daripada Tuan Guru Dato' Nik Abd Aziz Nik Mat terhadap Utusan Meloya.

 

"Paparan muka depan akhbar Utusan Malaysia hari ini nyata sekali berniat untuk memburuk-burukkan saya. Saya tidak menyebut perkataan "tidak tahu malu" manakala pepatah "hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong" itu saya tujukan kepada UMNO itu sendiri, bukan kepada pihak-pihak yang lain. Sekian dimaklumkan." petikan kenyataan facebook Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat

25 July 2010

HARUSSANI PATUT LETAK JAWATAN

Kewibawaan mufti Perak semakin tercalar sejak penglibatannya dalam isu- isu politik selepas pilihanraya umum (PRU) ke-12. Walaupun menafikan berkali- kali tidak berpihak kepada mana- mana parti politik, tetapi segala tindakan dan kenyataannya jelas membuktikan bahawa beliau amat sayangkan UMNO.

Bermula dengan kenyataan yang dipersoalkan selepas Barisan Nasional (BN) tumbang di negeri Perak pada PRU ke- 12, beliau menjadi jurucakap kepada UMNO untuk memujuk pimpinan  PAS Perak untuk  membentuk kerajaan bersama dengan UMNO/BN di Perak.

Tembelangnya pecah apabila mantan Pesuruhjaya PAS Perak al- Fadhil Ustaz Ahmad Awang mendedahkan bahawa beliau ada dihubungi oleh mufti Perak untuk membentuk kerajaan bersama UMNO/BN.

Semasa Dato' Seri Nizar memimpin Perak, mufti Perak merupakan antara pihak yang menjadi duri dalam daging kepada kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat. Mengapa Harussani terlalu marah dengan pimpinan Pakatan Rakyat di Perak? Jawapan itu ada pada pimpinan Pakatan Rakyat Perak.

Sehinggalah berlaku rampas kuasa oleh BN di Perak, mufti Perak adalah antara individu yang amat gembira dengan tragedi tersebut. Buktinya, beliau sanggup menggadaikan perinsip dan maruahnya sebagai mufti apabila menghadiri Program Jom Heboh di Lumut sedangkan sebelum itu beliau dengan tegas mengatakan bahawa Program Sure Heboh adalah haram.

Kini beliau terus mengkritik PAS dalam program- program ceramahnya terutamanya di luar negara termasuklah program bersama pelajar- pelajar Malaysia di Australia baru- baru ini.

Kini, beliau pula menawarkan diri untuk menjadi orang tengah untuk menyatukan PAS dan UMNO...

Terkini, beliau mendedahkan ada pimpinan PAS yang berjumpa beliau berkaitan dengan isu perpaduan PAS- UMNO. Dengan penuh merendah diri beliau merahsiakan nama pimpinan PAS tersebut dari pengetahuan penduduk Malaysia di tanahair, namun lain pula iramanya apabila di luar negara..

Cukuplah segala putar alam dan sandiwara yang telah beliau lakukan. Demi menjaga nama baik institusi mufti di Malaysia beliau sepatutnya meletak jawatan dan menumpukan sepenuh masa untuk berjuang dalam UMNO.



23 July 2010

PERPADUAN BOLEH BERLAKU HANYA MELALUI ISLAM

Malam tadi Ustaz Kamal Ashaari manyampaikan kuliah maghrib di Masjid Redzuaniah, Kuala Kangsar. Walaupun hujan turun agak lebat sejak petang semalam, kehadiran jamaah tetap membanggakan. Ruang bahagian dalam  masjid dipenuhi segenap ruang dengan kehadiran semua peringkat umur.

Sebagai orang yang terlibat dalam perjuangan gerakan Islam sudah tentulah beliau tidak lari daripada menyentuh isu- isu semasa termasuk politik Islam untuk membuka minda jamaah. Tidak seperti mana segelintir guru- guru agama yang mengamalkan fahaman Mufti Perak bahawa perkara yang berkaitan politik hendaklah ditinggalkan di luar pagar masjid. Kesannya hingga kini masyarakat Islam khususnya di negeri Perak BUTA tentang politik yang diajar oleh Rasulullah S.A.W. dan mengasingkan politik dengan agama.

Menurut beliau, dalam isu perpaduan tidak ada jalan lain melainkan hanya melalui Islam. Isu kini hendak menyatu- padukan orang- orang Melayu. Adakah orang- orang Melayu perpecah kerana Melayu?

Masalah yang timbul kini, orang Melayu berpacah kerana tidak memahami dan mengamalkan Islam bukan kerana Melayu.

Sebagai contoh dalam sebuah kampung kesemuanya orang Melayu sehingga Kampung tersebut juga di namakan Perkampungan Melayu. Tetapi dalam masyarakat tersebut masih ada sihir menyihir sesama sendiri, perbalahan, pergaduhan sesama sendiri. Ini membuktikan bahawa orang Melayu berbalah bukan disebabkan oleh MELAYU tetapi disebabkan tak amalkan Islam.

Begitu juga dengan fahaman- fahaman lain yang cuba menyatukan manusia. Contohnya fahaman komunis yang memberikan hak sama rata dalam kekayaan negara kepada rakyatnya terbukti gagal untuk menyatukan manusia.

Oleh yang demikian, marilah kita kembali kepada formula asal perpaduan itu sendiri sebagaimana yang telah dibuktikan oleh Rasulullah S.A.W. dengan menyatukan golongan Muhajirin dan Ansar, puak Aus dan Khazraj dan orang- orang bukan Islam yang bernaung di bawah pemerintahan Islam dengan menggunakan kaedah meletakkan Islam sebagai asas perpaduan dan bukannya berteraskan kaum atau bangsa.

Kaedah perpaduan UMNO- PAS yang dianjurkan oleh Mufti Perak di atas tajuk MELAYU, jelas menggambarkan pemikiran beliau yang diselaputi dengan fahaman kebangsaan yang dibawa oleh UMNO. Oleh itu lebih baik Dato Seri Harussani masuk UMNO untuk memperbetulkan UMNO daripada menyibukkan diri untuk menyatukan UMNO- PAS.

Saya amat bersetuju dengan maksud pendirian oleh TN Guru Hj Abdul Hadi Awang bahawa PAS nak menggantikan UMNO bukan untuk masuk UMNO.

21 July 2010

Kg. Biong, Sauk dilanda Banjir

Hujan lebat mulai petang semalam menyebabkan salah sebuah kampung di DUN Chenderoh dilanda banjir. Paras air sungai di kampung Biong, Sauk  mula melimpah hingga meruntuhkan tebatan banjir yang telah dibina menyebabkan rumah- rumah di sekitar sungai tersebut dilimpahi air.

Menjelang selepas solat maghrib Unit Amal Kawasan Padang Rengas, pimpinan Pas Kawasan Padang Rengas yang diketuai oleh Ustaz Mohd Yassin (Tim. YDP Pas Pdg Rengas) dibantu oleh penduduk setempat bergegas turun membantu membersihkan  rumah- rumah yang dinaiki air.

Pihak bomba dari Kuala Kangsar juga turun untuk membantu mangsa- mangsa banjir.

Menurut Ustaz Mohd Yassin (Ketua Kampung Pakatan Rakyat Sauk), tempat berkenaan seringkali dilanda banjir setiap kali hujan lebat yang berterusan berlaku. Walaupun projek- projek tebatan banjir ada dibuat namun ia tidak dilaksanakan dengan sempurna.

Ini disebabkan kontraktor- kontraktor yang mendapat projek terdiri daripada kroni- kroni UMNO/ BN yang hanya mementingkan projek daripada kepentingan penduduk. Projek- projek sengaja dilakukan demikian untuk membolehkan kroni- kroni UMNO mengaut keuntungan daripada projek- projek yang diperolehi.

Setiap kali berlakunya banjir maka kroni- kroni UMNO/BN akan berpeluang mendapat habuan projek.

Itulah retorik daripada slogan BN ...Rakyat Didahulukan.

Walau apa pun, penduduk kampung berkenaan melahirkan rasa terharu terhadap bantuan yang dihulurkan oleh jamaah Pas yang turun membentu, walaupun dalam suasana hujan lebat



15 July 2010

NASIB RAKYAT BILA KERAJAAN BENGONG


Kenaikan beberapa harga barang yang diumumkan oleh Najib malam tadi menyempurnakan hasrat 1 Malaysia: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.

Walau apa pun alasan yaang diberikan sudah dijangkakan.... harga di Malaysia jauh lebih murah dengan harga di negara- negara lain. Itulah skrip lama setiap kali kenaikan harga barang terutama petrol diumumkan.

Setelah menggadaikan telaga minyak khazanah negara kepada negara lain, kini rakyat Malaysia menerima padah di atas KEBENGONGAN pemimpin UMNO/ BN.

Itulah nasib rakyat Malaysia selagi kerajaan yang BENGONG dikekalkan.

USTAZ IBRAHIM BERCERITA


Menceritakan pengalamannya semasa ditahan oleh pihak berkuasa di Mesir, menjadi muqaddimah Kuliah Maghrib Ustaz Ibrahim di Masjid Redzuaniah, Kuala Kangsar malam tadi. Ini merupakan kuliah pertama beliau di Masjid Redzuaniah selepas ditahan baru- baru ini.

Pergantungannya kepada makhluk pada minggu pertama ditahan ternyata sia- sia. Permintaannnya untuk bertemu dengan kedutaan Malaysia di sana menemui kegagalan memberikan pengajaran bahawa hanya Allahlah tempat pergantungan yang sebenar. Selepas gagal berjumpa dengan pihak kedutaan beliau tidak lagi mengharapkan bantuan daripada makhluk, tetapi menyerahkan segalanya kepada Allah S.W.T.

Akhirnya permintaannya dikabulkan oleh Allah dan kini dibebaskan.

Beliau juga menyatakan keyakinan, bahawa semua yang menimpanya merupakan ujian daripada Allah sebagai proses pembersihan diri yang dapat mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.

Beliau juga menceritakan bagaimana beliau hanya minum air kosong selama 25 hari, mata bertutup 24 jam, tidak dibenarkan menggosok gigi, menukar pakaian, berlapar sepanjang tempoh penahanannya.

Menurut beliau antara tahanan yang paling ramai adalah rakyat Palestine tanpa mengira lelaki, perempuan, termasuklah kanak- kanak kerana dihalang masuk ke Gazza. Melihat keadaan rakyat Palestine tersebut terdetik disanubarinya bahawa ujian yang menimpanya jauh lebih kecil berbanding rakyat Palestine.

Yang paling menghairankan, apabila beliau disuruh mencukur janggutnya oleh pihak berkuasa Malaysia setibanya di tanahair.

03 July 2010

1:40 UMNO Makin Celaru

Kononnya nisbah pengundi Melayu dengan bukan Melayu yang baru berdaftar adalah 1:40 mengikut perkiraan pemuda UMNO baru- baru ni jelas menunjukkan kecelaruan pemikiran dan hala tuju kepimpinan pemuda UMNO masakini.

Dakwaan itu disangkal oleh pengerusi SPR sendiri bahawa nisbah sebenar adalah 2:1.

Perkiraan yang sama sekali jauh tersasar, menyerlahkan pembohongan UMNO terhadap rakyat. Pemuda merupakan pewaris kepimpinan negara. Namun wajarkah kepimpinan negara diserahkan kepada mereka yang sanggup berbuat apa sahaja sehingga ke peringkat pembohongan untuk meraih simpati politik?

Apakah motif di sebalik pendedahan tersebut.... hanya untuk menggambarkan kepada pengundi Melayu bahawa mereka diambang kehilangan kuasa dengan pertambahan pengundi bukan Melayu?

Siapakah sebenarnya yang diambang kehilangan kuasa? UMNO atau Melayu?

Walaupun kerajaan yang dipimpin UMNO/BN telah membelanjakan jutaan ringgit untuk pengajaran Sains & Matematik dalam Bahasa Inggeris bertujuan untuk meningkatkan prestasi dalam mata pelajaran berkenaan, namun disebabkan projek menjadi keutamaan mengakibatkan pemimpin pemuda UMNO sendiri FAIL MATEMATIK.

Pemimpin Pemuda UMNO berkenaan perlu mengikuti Kelas Pemulihan Matematik....