30 June 2008

3 Keluarga Kehilangan Tempat Tinggal



Sauk, 30 Jun- Pada saat warga negeri Perak sedang menyambut 100 tahun pemerintahan Pakatan Rakyat di Stadium Ipoh, 3 buah keluarga di Kampung Ngor, Sauk telah hilang tempat berteduh apabila rumah mereka mengalami kebakaran.

Kebakaran dilaporkan berlaku pada 29 Jun jam 8.30 malam. Api yang marak dengan begitu pantas menyebabkan 3 buah rumah hangus walaupun penduduk kampung cuba sedaya upaya mengawal kebakaran.

Kelewatan pihak bomba sampai ke tempat kejadian juga antara faktor segala harta benda gagal diselamatkan. Namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Pada hari ini pelbagai pihak berziarah dan tampil menghulurkan sumbangan antaranya Yang Berhormat Tuan Haji Zainuddin (Exco Kerajaaan Negeri Perak) dan isteri, Pas Kawasan Padang Rengas, Dewan Pemuda & Muslimat, MTD Chenderoh serta orang persendirian.


Unit Amal akan mengadakan gotong- royong membersihkan kawasan kebakaran mulai 1 Julai 2008 jam 2.30 petang. Oleh itu semua pihak dijemput hadir bagi meringankan beban serta kesedihan keluarga mangsa.

Sebarang sumbangan boleh terus disumbangkan kepada wakil keluarga mangsa iaitu Puan Jamilah, Ustaz Jamaluddin (YDP Pas Kawasan Padang Rengas), Ustaz Mohd Yassin (Ketua Kampung Sauk) atau En. Osman (Ketua Kampung Ngor).

Ihtifal PASTI Kawasan Padang Rengas

Kota Tampan Air, 29 JUN- Pasti Kawasan Padang Rengas telah berjaya mengadakan Ihtifal peringkat kawasan yang diadakan di Dewan PASTI Kota Tampan Air Lenggong. Semua PASTI kawasan Padang Rengas mengambil bahagian.

Acara yang dipertandingkan ialah bercerita, sajak, hafazan, nasyid dan membaca khutbah. Sambutan dan sokongan yang padu ditunjukkan oleh pihak ibu bapa, guru serta masyarakat setempat membuktikan PASTI merupakan intitusi penting dalam memberikan sumbangan terhadap bidang pendidikan negara.

Keterampilan serta keyakinan yang ditunjukkan oleh pelajar- pelajar PASTI dalam acara yang dipertandingkan membuktikan bahawa perjuangan Islam tidak pernah tandus dalam melahirkan pemimpin yang berwibawa.

Majlis dirasmikan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Padang Rengas dan diakhiri dengan acara penyampaian hadiah.

Pihak pengelola ihtifal merakamkan Jazakumullahu Khairan Kathira kepada semua yang terlibat menjayakan majlis ini.

20 June 2008

Ketua Kampung, JKKK mulakan tugas sebelum dapat surat pelantikan

Ekmal Yusof Fri Jun 20, 08 12:08:32 pm MYT
KUALA KANGSAR, 20 Jun (Hrkh) ? Ketua-ketua Kampung dan JKKK baru yang telah dipilih oleh penduduk dalam pilihan raya kecil di tempat masing-masing baru-baru ini telah memulakan tugas walaupun surat perlantikan jawatan mereka masih belum diserahkan oleh Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.
Seorang aktivis PAS, Haji Amran Bin Mansor, 50, yang telah dipilih sebagai Ketua Kampung Beluru/Geliong di DUN Chenderoh baru-baru ini memberitahu Harakahdaily, beliau sedang berusaha memberi pertolongan kepada 100 orang ibu tunggal, 20 orang anak yatim dan golongan miskin yang memerlukan bantuan segera.
"Inilah tugas saya sejak dipilih awal bulan ini menjadi wakil kerajaan bagi mengetengahkan pelbagai masalah penduduk dalam tiga buah kampung iaitu Kampung Sri Desa, Kubang Halban, Beluru dan Geliong kepada agensi kerajaan di Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar dan di Ipoh," tegasnya.
Katanya, sejak kebelakangan beliau sering berulang alik ke Pejabat Kebajikan Masyarakat, Pejabat Tanah dan Pertanian dekat sini bagi menyelesaikan masalah yang dibangkitkan..
Beliau berasa sangat terharu terhadap penjawat kerajaan sekarang yang gembira menerima kedatangan orang kampung dan menyambut dengan penuh mesra, tidak seperti sewaktu zaman BN memerintah, buat layan tak layan sahaja dan disuruh datang lain kali.
"Sekarang, rumah saya seolah-olah seperti pejabat Menteri Besar, setiap hari ada saja orang datang mengadu hal," tegasnya berjenaka.
Walau bagaimanapun katanya, beliau gembira bertugas dengan Kerajaan Pakatan Rakyat dan akan memberikan khidmat yang terbaik kepada kerajaan dan orang ramai demi bagi kemajuan rakyat seluruhnya.