30 October 2009

Selamat Berkonvensyen: Pakatan Rakyat Perak

Di tengah- tengah kemelut politik di negeri Perak, Pakatan Rakyat Perak terus mengorak langkah mengukuhkan ikatan dengan mengadakan konvensyen Pakatan Rakyat di Hotel Syuen, Ipoh pada 31 Oktober 2009.

Sejak berlakunya rompakan kuasa oleh BN di Perak, ikatan ini bertambah kukuh kerana langau- langau yang menjadi duri dalam daging sudah melompat keluar menzahirkan wajah sebenar mereka. Komitmen yang ditunjukkan oleh ADUN- ADUN Pas, DAP dan PKR terbukti apabila mereka senada dalam apa jua isu, sanggup mengharungi bersama apa sahaja rintangan dan cabaran yang direncanakan oleh BN.

Bermula dengan pilihanraya umum ke-12 lagi, Pas, DAP dan PKR Perak sudah merintis jalan persefahaman untuk berhadapan dengan BN dengan nama Barisan Rakyat sehingga berjaya menumbangkan BN. Dari situlah bermulanya titik pertemuan pada peringkat pusat hingga terbinanya gabungan Pakatan Rakyat.

Pada 24 Oktober yang lalu telah diadakan Pelancaran Pemuda Pakatan Rakyat Perak di Lumut yang juga menyaksikan bandar Lumut dilimpahi hampir ratusan anggota polis untuk membuat sekatan bagi menggagalkan program berkenaan.

Pakatan Rakyat Perak juga telah melahirkan ikon- ikon baru politik di Malaysia yang meliputi semua kaum antaranya DSR Nizar, Dato' Ngeh, dan V. Sivakumar.

Pada 28 Oktober yang lalu dalam sidang DUN Perak, seluruh dunia menyaksikan, betapa kukuhnya ikatan ADUN- ADUN Pakatan Rakyat Perak menempuh segala halangan yang dicipta oleh BN. Sekatan- sekatan dan kekasaran yang dilakukan oleh polis (yang menjadi hamba dan pekakas BN) terhadap ADUN- ADUN Pakatan Rakyat tidak sedikit pun melunturkan semangat mereka untuk mempertahankan suara rakyat.

Semakin kuat tekanan yang dilakukan oleh BN, semakin kukuh perpaduan terjalin dalam Pakatan Rakyat Perak.

Walaupun media arus perdana mencanangkan keretakan dan perpecahan dalam parti- parti komponen Pakatan Rakyat, namun ia tidak memberikan kesan terhadap kebangkitan Pakatan Rakyat di bumi Perak.

Ayuh rapatkan saf, kukuhkan jama'ah, dan bersedia untuk kembali memimpin di negeri Perak Darul Ridzuan.

"SELAMAT BERKONVENSYEN"


26 October 2009

Lagi Kereta Terbakar. Mungkinkah Kerana Ron95?

Kejadian berlaku kira- kira jam 7.30 pagi saya terserempak dengan kebakaran yang berlaku ke atas sebuah kereta di Sauk, jalan Kuala Kangsar- Lenggong berhampiran dengan kuari.

Ketika itu saya dalam perjalanan ke tempat kerja.

Al- Hamdulillah, pemandu dan penumpang selamat. Kereta yang dipandu oleh Salleh dalam perjalanan menghantar anaknya ke Sekolah Menengah Kebangsaan Temenggong, Kati.

Beliau hanya menyedari kebakaran berlaku apabila diberi isyarat oleh pemandu kereta di belakangnya.Api dikatakan bermula dari bahagian sisi belakang keretanya.

Beliau yang tinggal di Kampung Changkat Pinang, Sauk bekerja sebagai penjaja "Apum Balik" di pasar- pasar malam sekitar Kuala Kangsar.

Beliau bersama anak perempuannya berjaya menyelamatkan diri hanya mampu memerhatikan keretanya hangus dijilat api bersama orang ramai.

Pasukan Bomba sampai ke tempat kejadian sekitar jam 7.40 pagi.

Kejadian yang sama berlaku di Kg. Raban, jalan yang sama pada hari ahad sebelumnya juga melibatkan kebakaran sebuah van produa rusa apabila berlanggar dengan sebuah kereta Mercedez Benz menyebabkan pemandu van berkenaan mati terbakar di tempat kejadian.

Beberapa hari sebelum itu, akhbar tempatan melaporkan kebakaran kereta akibat kemalangan di Kelantan yang mengorbankan seorang selebriti tempatan.

Kadang- kadang saya terfikir, mungkinkah kekerapan kebakaran kenderaan akibat kemalangan disebabkan penggunaan petrol Ron95 yang digunakan secara meluas di negara kita pada masa kini?

Mari kita kaji... dan fikir- fikirkan...

25 October 2009

Kenyataan Media Presiden Pas

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

PAS adalah merupakan sebuah organisasi siyasah, dakwah dan tarbiyah yang ditubuhkan sejak dari tahun 1951 dan pernah berhadapan dengan suasana yang lebih getir dalam lipatan sejarah perjuangannya.

Semuanya berjaya dihadapi dan terus menerus mematangkan organisasi parti sehinggalah PAS mencapai kedudukan yang ada pada masa kini.

Sehubungan dengan itu, saya meminta seluruh ahli dan kepimpinan PAS di pelbagai peringkat untuk bersabar dan bertenang dalam menghadapi persoalan dalaman parti pada waktu ini.

Persoalan yang timbul ini tidak akan dapat diselesaikan menerusi penggunaan media massa dan media baru.

Ianya perlu diselesaikan secara musyawarah dengan berpegang kepada budaya dan panduan yang menjadi pegangan PAS, sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaannya.

Saya juga sudah mengarahkan Dato' Setiausaha Agung PAS untuk menentukan tarikh yang sesuai di waktu terdekat ini untuk diadakan satu mesyuarat bagi membincangkan persoalan yang timbul ini.

Kita berdoa agar Allah SWT senantiasa memberikan taufik dan hidayah Nya kepada kita semua dalam usaha untuk merungkai permasalahan ini dan seterusnya memperkukuhkan parti.

Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)

6 Zulkaedah 1430 H bersamaan 25 Oktober 2009

sumber: harakahdaily.net

Kenyataan Media (25 Oktober 2009)

KESTABILAN POLITIK NEGERI PERAK PERLU DIKEMBALIKAN,
DUN PERAK PERLU SEGERA DIBUBARKAN

Berikutan sidang DUN yang akan diadakan pada 28 Oktober 2009 ini, PAS Perak mendesak agar kestabilan perjalanan Dewan Undangan Negeri Perak berjalan dengan baik, perkara ini sangat penting kerana PAS Perak sangat menghormati pendirian rakyat yang telah membuang undi pada 8 Mac 2008 yang lalu dan hasil dari itu kerajaan Pakatan Rakyat diberi mandat untuk mentadbir Negeri Perak.

Berikutan surat panggilan yang telah dikeluarkan oleh YB V Sivakumar selaku Speaker Perak yang sah, untuk semua adun dari Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional bersidang pada 28/10/2009 ini. Maka PAS Perak mengharapkan agar perkara-perkara yang disebutkan diambil perhatian oleh pihak yang berkenaan:

Pertama : PAS Perak ingin menegaskan supaya pihak polis tidak campur tangan di dalam segala urusan sidang DUN yang akan dilakukan pada 28 Oktober ini. PAS Perak menegaskan agar insiden campurtangan pihak polis yang berlaku pada sidang DUN 3 Mac 2009, 7 Mei 2009 dan 2 September 2009 tidak berulang. Pada 3 persidangan yang lepas seluruh rakyat dapat melihat dengan jelas bahawa pihak polis telah menghalang adun Pakatan Rakyat untuk bersidang bahkan telah mengganggu ADUN dari Pakatan Rakyat menunaikan amanah rakyat untuk mereka bersidang.

PAS Perak, sangat bimbang sekiranya berlaku sebarang kekerasan dari pihak Polis terhadap ADUN Pakatan Rakyat untuk bersidang sepertimana yang berlaku pada sidang-sidang DUN yang lepas, oleh itu bagi PAS Perak perkara seperti ini tidak boleh berulang sama sekali.

Kedua : PAS Perak menyeru agar pihak polis menjaga keselamatan ADUN Pakatan Rakyat daripada sebarang gangguan “samseng-samseng” yang tidak dikenali yang berkemungkinan akan muncul pada sidang dewan yang akan datang. PAS Perak melihat tindakan “samseng-samseng” yang tidak dikenali ini telah menimbulkan kekacauan pada sidang-sidang yang lalu harus dihalang daripada terus menimbulkan kekacauan. Tindakan mengheret Speaker YB V. Sivakumar pada sidang DUN yang lalu amat tidak bermoral dan melanggar etika kemanusiaan.

Sehubungan itu, kami amat berharap pihak polis dapat menghalang sebarang tindakan tidak bermoral yang mungkin dibuat oleh pihak “samseng-samseng” ini pada sidang DUN 28 Oktober ini.

Ketiga: Pimpinan PAS Perak juga bertegas agar pihak Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) supaya tidak campur tangan di dalam urusan sidang DUN. Selaku kakitangan kerajaan dan berada di bawah kuasa eksekutif, SUK Negeri tiada hak untuk campur tangan di dalam hal kuasa legislatif iaitu kuasa yang ada pada sidang DUN. Pimpinan PAS Perak amat kesal di atas tindakan SUK Negeri yang melanggar arahan Speaker YB V Sivakumar di dalam persidangan yang lepas sehingga mengakibatkan huru-hara di dalam persidangan dewan.

Keempat: Sehingga kini, mahkamah masih lagi belum memutuskan siapakah Menteri Besar Perak yang sah, dan keputusan ini masih dalam urusan mahkamah, dan Berdasarkan keputusan terbaru juga, mahkamah tinggi telah membenarkan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar, dan enam lagi ADUN Pakatan Rakyat untuk mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menyatakan tidak perlu mengadakan pilihan raya kecil bagi tiga kerusi DUN di Perak iaitu Behrang, Cangkat Jering Dan Jelapang.

Perkara ini semestinya akan menyebabkan kecelaruan bagi sidang DUN yang akan diadakan ini. Sehubungan itu, PAS Perak mendesak agar DUN Perak segera dibubarkan bagi mengembalikan semula hak rakyat memilih kerajaan yang sebenar untuk mentadbir Negeri Perak, Bagi PAS Perak ini adalah jalan yang terbaik bagi mengelakkan berbagai lagi insiden yang akan berlaku pada masa akan datang selagi mana DUN Perak tidak dibubarkan

Dengan ini saya, selaku Pesuruhjaya mewakili seluruh pimpinan PAS Perak, akan terus konsisten menggesa agar DUN Perak segera dibubarkan untuk kita sama-sama menyelesaikan masalah yang timbul akibat daripada rampasan kuasa oleh pihak Barisan Nasional. PAS Perak menggesa supaya kembalikan semula hak rakyat, berikan mandat kepada rakyat tentukan siapa kerajaan pilihan mereka.

“ ISLAM MEMIMPIN PERUBAHAN ”

A.F USTAZ ABU BAKAR HUSSAIN

Pesuruhjaya PAS,

Perak Darul Ridzuan

24 October 2009

Lumut: Bandar PDRM

Sabtu, semalam kebetulan berlangsung dua program besar peringkat negeri anjuran dua buah sayap parti Pas Perak. Dewan Muslimat Perak mengadakan himpunan di Ayer Tawar manakala Dewan Pemuda Perak mengadakan himpunan di Lumut dan seterusnya ke Pulau Pangkor.

Sepanjang pengalaman mengikuti program- program anjuran Pas, belum pernah lagi saya melihat puluhan anggota polis berada dalam kawasan program anjuran Dewan Muslimat. Semalam bertempat di sebuah dewan cina menyaksikan anggota polis begitu ramai termasuk polis trafik mengawasi perjalanan program Muslimat. Walau bagaimanapun program berjalan lancar dengan kehadiran pimpinan- pimpinan peringkat negeri dan pusat. Kehadiran muslimat dari kawasan- kawasan seluruh Perak juga amat menakjubkan dengan berpakaian serba hitam dengan semangat yang berkobar- kobar untuk menggerakkan jentera pilihanraya merampas kembali Perak dari tangan penyamun BN.

TAHNIAH MUSLIMAT!!!

Sementara di Markas Pas Lumut pula berlangsungnya konvoi dan himpunan pelancaran Pemuda Pakatan Rakyat anjuran Dewan Pemuda Pas Perak bersama pemuda DAP dan PKR. Kehadiran bilangan polis yang begitu ramai termasuk FRU tidak menghalang anak- anak muda untuk menjayakan program di sana.

Di bandar Lumut pula, dibanjiri dengan ratusan anggota polis untuk mengawasi suasana di sana memandangkan pemuda Pakatan Rakyat akan mengharungi lautan menuju ke Pulau Pangkor bagi memastikan DUN pangkor akan dibebaskan daripada rejim Zambry (MB HARAM) pada pilihanraya akan datang.

Semalam saya merasakan seolah- olah berada di BANDAR PDRM.

Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat begitu terserlah mengadakan kempen Bubarkan DUN Perak... Dewan Ulama ??? Camna ???

19 October 2009

Najib hanya mampu menciplak

Dulu Pas Kelantan menambah bilangan hari cuti bersalin bagi kakitangan kerajaan, diperlekehkan oleh UMNO/BN, kemudian.... mereka pun tiru.

Kemudian, Pas Kelantan dan Terengganu mengisytiharkan 5 hari waktu bekerja seminggu untuk kakitangan kerajaan, macam- macam komen negatif daripada UMNO/BN. Ada yang kata malas, tak merangsang ekonomi, tak produktiviti... Tak lama kemudian UMNO/BN pun tiru. Mula- mula nak mengelakkan supaya nampak tak sama, diisytiharkan cuti setiap sabtu pertama dan ketiga, akhirnya diisytiharkan terus cuti setiap sabtu.

DAP dah lama melaungkan konsep Malaysian, Malaysia. Puak- puak ekstrem Melayu UMNO hentam konsep DAP habis- habisan kononnya alasan ketuanan Melayu. Sekarang puak- puak ekstremis Melayu UMNO berkokok konsep 1 Malaysia konon. Samalah tu... cuma beza Bahasa Melayu dengan Bahasa Inggeris je...

Penciplakan terbaru... Najib dengan bangganya mengumumkan tarikh 16 September akan diisytiharkan sebagai cuti umum mulai tahun 2010 sebagai memenuhi syarat sah konsep 1 Malaysia ciptaannya. Sedangkan Pakatan Rakyat terutamanya Dato' Seri Anwar Ibrahim telah lama mengutarakan idea serta tuntutan kepada Kerajaan agar 16 September dijadikan sebagai cuti umum serta sambutan kemerdekaan yang sebenar bagi Malaysia.

Peristiwa pengisytiharan oleh Penasihat PKR itu untuk menubuhkan kerajaan yang baru pada 16 September tahun lalu juga menghantui BN sehingga sanggup melarikan ahli- ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak ke luar negara yang kononnya akan melompat parti kepada Pakatan.
Rakyat.

Walaupun gagal menubuhkan kerajaan pada tarikh tersebut, hasrat untuk menjadikan 16 September sebagai cuti umum tercapai. Selepas ini akan lebih banyak lagi idea- idea pimpinan Pakatan Rakyat akan direalisasikan oleh Najib. Yang sangat ditunggu- tunggu ialah penubuhan Dewan Ulama UMNO.

Hanya Pak Lah sahaja yang tak sempat mengisytiharkan penambahan cuti umum hari kebesaran Islam iaitu "ISLAM HADHARI".

16 October 2009

SPR Perak dah beri signal

Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perak akan mempamerkan nama-nama mereka yang telah mendaftar sebagai pemilih baru dan pertukaran alamat tempat mengundi bermula dari 1 Julai 2009 hingga 30 September 2009.

Timbalan Pengarah Pilihan Raya Negeri Perak, Che Wan Muhammed Salleh Wan Adnan dalam satu kenyataan hari ini berkata, mereka yang telah mendaftar pada tarikh tersebut diminta untuk menyemak nama di tempat-tempat berikut iaitu pejabat SPR Perak, pejabat Pos, pejabat penghulu dan pejabat-pejabat daerah.

Tempoh pameran selama seminggu bermula 20 hingga 26 Oktober, katanya.

Katanya sebarang pertanyaan boleh menghubungi pejabat-pejabat pilihan raya negeri Perak di nombor telefon 05-24 94 113, 05-24 94 120 dan 05-24 94 121. BERNAMA

14 October 2009

Program Mesra Rakyat & Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kawasan Padang Rengas

Pada 4. 10. 2009 (Ahad), Pas Kawasan Padang Rengas telah mengadakan Program Mesra Rakyat dan Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat Parlimen Padang Rengas. Kali ini DUN Chenderoh menjadi lokasi pilihan program diadakan.

Semangat jihad yang yang ditunjukkan oleh pendokong Pas amat menakjubkan apabila En. Md. Zalani (Ketua Kampung Pakatan Rakyat Chuar Hilir) menyediakan tanah kepunyaannya untuk dijadikan tapak program.

Suasana suram dengan keadaan cuaca tidak menentu sepanjang minggu sebelum itu amat menggusarkan pihak penganjur. Apa tidaknya, sepanjang hari gotong- royong persediaan tempat kami bermandikan hujan dari pagi hingga ke malam.

Dengan doa dan munajat dari semua pihak, maka tibalah hari yang dinantikan.

Pada waktu paginya, hujan gerimis mula menyirami. Acara dimulakan dengan sukaneka PASTI bagi Kawasan Padang Rengas. Bagi memastikan anak- anak kecil ini dapat memenuhi hasrat mereka untuk bersukan pihak penganjur buat sekian kalinya membuat trek dibawah khemah (ala- ala stadium le).

Pada waktu pagi juga beberapa acara menarik disusun iaitu pemeriksaan kesihatan dan ubat percuma, perkhidmatan Darussyifa', pertandingan memasak, mewarna, cabutan bertuah, sajian roti canai percuma, pendaftaran pengundi baru, pertandingan tarik tali serta gerai jualan.

Pada sebelah petangnya pula diadakan Jamuan Aidilfitri, tarik tali akhir, sukaneka, persembahan taekwando dan kompang.

Pada sebelah malamnya, setelah penat mengerah tenaga, rakyat disajikan pula dengan Ceramah Perdana yang membariskan penceramah- penceramah Pakatan Rakyat iaitu YB Hj. Zainuddin (ADUN Lubuk Merbau), Sdr. Mustafa Kamil Ayub (Naib Presiden PKR) dan YB Nga Kho Ming (ADUN Pantai Remis) dari DAP.

Alhamdulillah, Allah memberikan pertolongan dengan mengurniakan cuaca yang cukup baik yang membolehkan orang ramai datang ke program tersebut. Sambutan yang cukup baik daripada orang ramai tanpa mengira fahaman politik atau kaum sepanjang hari berkenaan memberikan petanda positif masa depan Pakatan Rakyat di Negeri Perak.

Pihak penganjur merakamkan Jazakumullahu Khairan Kathira kepada Tuan Rumah (En. Md. Zalani sekeluarga), Anggota Unit Amal, Penduduk Setempat, Penderma- Penderma serta semua pihak yang bertungkus- lumus menginfakkan apa sahaja bentuk sumbangan bagi menjayakan program tersebut dari awal hinggalah ke penghujung program.

Nazmi Yasin
Setiausaha Program

BAGAN PINANG: Kenyataan Media Presiden PAS

Keputusan Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang telah sama-sama kita ketahui, di mana Barisan Nasisonal (BN) telah mengekalkan kemenangan yang telah diperolehi oleh mereka menerusi Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu.

Serentak dengan itu, pelbagai pihak telah memberikan analisa, ulasan, komen dan cadangan masing-masing terhadap keputusan pilihanraya kecil tersebut.

Apa yang pasti ialah Parti Islam SeMalaysia (PAS) akan melakukan post-mortem bagi meneliti pelbagai aspek 'politik tempatan dan nasional' untuk menentukan punca sebenar kegagalan PAS memenangi kerusi DUN Bagan Pinang dari tangan BN.

Kepimpinan parti tentunya akan mengambil langkah strategik yang bersesuaian tanpa mengorbankan prinsip perjuangan parti dalam melaksanakan penambahbaikan.

Sementara itu saya meminta semua ahli di pelbagai peringkat dalam PAS supaya tidak menuding jari dan menyalahkan sesiapa sebelum punca sebenar ini dapat dikenalpasti.

Dalam suasana keriuhan kegagalan kita memenangi kerusi DUN Bagan Pinang ini, semua ahli PAS diminta bertenang dan tidak keliru dengan status-quo kemenangan BN yang dirayakan oleh mereka.

PAS menyedari bahawa semua pihak menaruh harapan yang tinggi untuk mengambil kerusi DUN Bagan Pinang dari milikan BN.

Hakikatnya ialah kita menyertai pilihanraya ini dengan penuh maklumat bahawa ianya merupakan satu tugas yang mencabar dan penuh dengan insiden provokasi oleh pihak lawan.

Walauapapun, PAS ingin menyampaikan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pengundi yang masih memilih PAS, para petugas parti yang datang dari segenap pelusuk tanahair dan berkampung di DUN Bagan Pinang, orang perseorangan dari pelbagai rumpun bangsa yang datang memberikan tenaga dan sokongan serta semua pihak yang telah berusaha bersama-sama dengan jentera parti dalam berhadapan dengan pilihanraya kecil ini.

Presiden PAS

Tuan Guru Presiden sedang berada di Syria dan beliau menghubungi Dr Ahmad Samsuri selaku Setiausaha Politik Presiden PAS untuk kenyataan media ini

08 October 2009

Angkara Pengganas UMNO di Bagan Pinang










Bagi menyesuaikan identiti parti yang mengekalkan ikon calon rasuah, UMNO/BN dilihat cuba melengkapkan identiti lambang partinya perkaumannya (keris bertelanjang) dengan menggunakan petugas- petugas pengganas dalam siri kempen pilihanraya kecil di Bagan Pinang.

Menurut sidang media oleh YB Salahuddin Ayub selaku Pengarah Pilihanraya Pas kali ini, sebanyak 5 aduan polis telah dibuat semalam berhubung serangan pengganas tajaan UMNO. Beliau juga berharap polis dapat menjalankan siasatan secara telus tanpa tunduk kepada arahan pimpinan UMNO semata- mata.

Beliau juga menyelar kenyataan Dato' Hishamuddin selaku Menteri Dalam Negeri yang dilihat cuba mempengaruhi keputusan siasatan pihak polis.

Wahai pengundi- pengundi di Bagan Pinang, gambar di atas hanyalah secebis daripada kezaliman UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.