11 January 2012

NEGARA ISLAM DAN NEGARA BERKEBAJIKAN TIDAK BERCANGGAH: Dr. Haron Din


Petikan jawapan Dr. Haron Din tentang persoalan Negara Berkebajikan dan Negara Islam.


"Sebenarnya PAS tidak melencong atau menyeleweng dan jauh sekali daripada berubah dari Islam kepada yang tidak Islam. Mana mungkin PAS hendak berubah kepada yang tidak Islam. Bukti yang paling nyata, Perlembagaan PAS yang ada sekarang, jelas tidak ada sebarang perubahan dan tidak pernah ada cadangan untuk berubah. Perlembagaan PAS, Fasal 1, nama pertubuhan disebut Parti Islam Se-Malaysia (PAS)".

"Pihak yang menyatakan PAS sudah melencong dan berubah dasar perjuangannya, meninggalkan Islam dan Negara Islam dan bermacam-macam lagi, adalah suatu fitnah jahat yang semata-mata bertujuan memburuk-burukkan pejuang-pejuang Islam, yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam, sepanjang zaman"

"PAS tidak berubah dan tidak pernah mengubah dasar-dasar utama perjuangannya. Taktik dan strategi boleh berubah mengikut keperluan. Apa yang disebut Negara Berkebajikan menggantikan Negara Islam, itu sebenarnya istilah. Maknanya sama dan tidak berubah. Malah menamakan Negara Islam dengan nama Negara Berkebajikan, tidak bercanggah dengan Islam".

"PAS sekarang, tetap PAS seperti dahulu, tetap memperjuangkan Islam yang syumul, tanpa menghiraukan kata-kata orang menentang".


Sumber:
Artikel di atas dipetik daripada ruangan Bersama Dato' Haron Din yang disiarkan akhbar Harakah Bil. 1704 (8-11 Safar 1433/2-5 Januari 2012)


09 January 2012

SAMBUTAN HANGAT PERTANDINGAN BOLA SEPAK anjuran SEMARAK Padang Rengas

Dr Azalan bergambar bersama pasukan yang memasuki perlawanan Akhir

Pertandingan bola sepak 9 sebelah anjuran SEMARAK Padang Rengas telah berlangsung dengan jayanya dengan menyaksikan penyertaan 22 buah pasukan sekitar kawasan Padang Rengas serta kawasan yang berhampiran.

Pertandingan yang menawarkan hadiah berjumlah RM 500 (Johan), RM 300 (Naib Johan), RM 150 (ke-3) serta RM 100 (ke-4) telah dilangsungkan di Padang Sekolah Kebangsaan Sauk.

Pertandingan yang dimulakan pada jam 9.00 pagi dan berakhir pada jam 6.30 petang menyaksikan pasukan I.B.U Kati Senior F.C telah muncul sebagai juara mengalahkan pasukan Seterus F.C. Manakala tempat ke-3 dan ke-4 disandang oleh pasukan Harimau H dan MOG SSU.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Dr. Azalan Radzi, Naib YDP Pas Kawasan Padang Rengas yang merupakan penyumbang hadiah terbesar dalam pertandingan tersebut. Tahniah kepada semua pemenang, tahniah kepada semua pasukan yang bertanding.

Pihak penganjur menerima maklum balas yang amat positif dari peserta serta penonton yang mahukan pihak SEMARAK menjadikan pertandingan ini sebagai acara tahunan bagi menarik minat belia melibatkan diri dalam aktiviti- aktiviti yang sihat.