20 June 2008

Ketua Kampung, JKKK mulakan tugas sebelum dapat surat pelantikan

Ekmal Yusof Fri Jun 20, 08 12:08:32 pm MYT
KUALA KANGSAR, 20 Jun (Hrkh) ? Ketua-ketua Kampung dan JKKK baru yang telah dipilih oleh penduduk dalam pilihan raya kecil di tempat masing-masing baru-baru ini telah memulakan tugas walaupun surat perlantikan jawatan mereka masih belum diserahkan oleh Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.
Seorang aktivis PAS, Haji Amran Bin Mansor, 50, yang telah dipilih sebagai Ketua Kampung Beluru/Geliong di DUN Chenderoh baru-baru ini memberitahu Harakahdaily, beliau sedang berusaha memberi pertolongan kepada 100 orang ibu tunggal, 20 orang anak yatim dan golongan miskin yang memerlukan bantuan segera.
"Inilah tugas saya sejak dipilih awal bulan ini menjadi wakil kerajaan bagi mengetengahkan pelbagai masalah penduduk dalam tiga buah kampung iaitu Kampung Sri Desa, Kubang Halban, Beluru dan Geliong kepada agensi kerajaan di Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar dan di Ipoh," tegasnya.
Katanya, sejak kebelakangan beliau sering berulang alik ke Pejabat Kebajikan Masyarakat, Pejabat Tanah dan Pertanian dekat sini bagi menyelesaikan masalah yang dibangkitkan..
Beliau berasa sangat terharu terhadap penjawat kerajaan sekarang yang gembira menerima kedatangan orang kampung dan menyambut dengan penuh mesra, tidak seperti sewaktu zaman BN memerintah, buat layan tak layan sahaja dan disuruh datang lain kali.
"Sekarang, rumah saya seolah-olah seperti pejabat Menteri Besar, setiap hari ada saja orang datang mengadu hal," tegasnya berjenaka.
Walau bagaimanapun katanya, beliau gembira bertugas dengan Kerajaan Pakatan Rakyat dan akan memberikan khidmat yang terbaik kepada kerajaan dan orang ramai demi bagi kemajuan rakyat seluruhnya.