15 September 2008

PROGRAM IHYA' RAMADHAN DUN CHENDEROH

Program akan diadakan pada ketetapan berikut:
Tarikh : 16.9.2008
Hari : Selasa
Masa : Bermula jam 6.30 petang
Tempat : Masjid Kampung Chegar Galah
Anjuran Bersama: JKKK Kg. Cheggar Galah & MTD Chenderoh

Sehubungan dengan itu setiap cawangan DUN Chenderoh dikehendaki menghantar wakil seramai 5 orang ke majlis berkenaan.

21 August 2008

BERKAS EXCO PERAK, TINDAKAN BPR TIMBULKAN TANDA TANYA

Cara BPR Perak memberkas 2 orang exco dan beberapa pimpinan PKR Perak amat memalukan dan mencemarkan kredibiliti badan bebas itu sendiri. Umum mengetahui begitu banyak salah laku yang melibatkan wang rakyat serta penyalahgunaan kuasa pemimpin BN dilaporkan, tetapi seribu macam alasan diberikan oleh BPR untuk bertindak.
Lihat sahaja isu Perwaja yang gagal diselesaikan hingga kini, laporan rasuah berprofil tinggi yang diakui sendiri oleh Datuk Rais Yatim (Ketika menjawat jawatan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri), laporan rasuah terhadap Tajol Rosli yang menawarkan jawatan kepada pemimpin PAS jika melompat parti, laporan rasuah bekas pegerusi GERAK yang kini sudah mengampunkan dosa pemimpin tertinggi UMNO dan sebagainya, senyap tanpa sisatan.
Adalah amat malang sekiranya BPR terlibat dalam pergelutan politik antara BN dan Pakatan Rakyat. Cukuplah dengan peristiwa- peristiwa yang mencemarkan imej pihak berkuasa yang telah berlaku.

13 July 2008

Perasmian Pusat Khidmat Masyarakat Pakatan Rakyat DUN Chenderoh


Sauk, 12 Julai- Pakatan Rakyat membuktikan komitmennya untuk memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat setelah diberi mandat untuk memerintah negeri Perak. Walaupun di DUN Chenderoh calon PAS tewas dalam PRU ke-12, namun ia tidak melunturkan semangat jentera Pakatan Rakyat untuk memberikan khidmat kepada masyarakat.
Pada hari ini, Pusat Khidmat Masyarakat Pakatan Rakyat DUN Chenderoh yang terletak di Markaz Pas Sauk, telah dirasmikan oleh YB Tuan Haji Zainuddin, Exco Kerajaan Negeri Perak merangkap ADUN Lubuk Merbau. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YDP Pas Kawasan Padang Rengas, Ketua Urusan Ulama Pas kawasan, Penghulu Mukim Kota Lama Kiri, Ketua- Ketua Kampung Mukim Chegar Galah dan Kota Lama Kiri yang baru dilantik serta masyarakat setempat.
Dalam ucapannya, YB Hj Zainuddin telah mengupas beberapa isu terkini dalam kerajaan negeri Perak seperti isu pemberian geran tanah kepada Kampung- Kampung Baru, Perjanjian Pangkor II, Perlantikan Jawatankuasa Masjid, tanah Rizab Melayu dan sebaganya.

Dalam majlis berkenaan juga hadirin berpeluang berdialog dengan YB tentang masalah- masalah berbangkit. Ketua- Ketua kampung yang hadir sangat berpuas- hati dengan penjelasan yang diberikan dan berazam menyampaikannya ke peringkat kampung masing- masing. Majlis diakhiri dengan jamuan dan solat asar berjamaah.

30 June 2008

3 Keluarga Kehilangan Tempat Tinggal



Sauk, 30 Jun- Pada saat warga negeri Perak sedang menyambut 100 tahun pemerintahan Pakatan Rakyat di Stadium Ipoh, 3 buah keluarga di Kampung Ngor, Sauk telah hilang tempat berteduh apabila rumah mereka mengalami kebakaran.

Kebakaran dilaporkan berlaku pada 29 Jun jam 8.30 malam. Api yang marak dengan begitu pantas menyebabkan 3 buah rumah hangus walaupun penduduk kampung cuba sedaya upaya mengawal kebakaran.

Kelewatan pihak bomba sampai ke tempat kejadian juga antara faktor segala harta benda gagal diselamatkan. Namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Pada hari ini pelbagai pihak berziarah dan tampil menghulurkan sumbangan antaranya Yang Berhormat Tuan Haji Zainuddin (Exco Kerajaaan Negeri Perak) dan isteri, Pas Kawasan Padang Rengas, Dewan Pemuda & Muslimat, MTD Chenderoh serta orang persendirian.


Unit Amal akan mengadakan gotong- royong membersihkan kawasan kebakaran mulai 1 Julai 2008 jam 2.30 petang. Oleh itu semua pihak dijemput hadir bagi meringankan beban serta kesedihan keluarga mangsa.

Sebarang sumbangan boleh terus disumbangkan kepada wakil keluarga mangsa iaitu Puan Jamilah, Ustaz Jamaluddin (YDP Pas Kawasan Padang Rengas), Ustaz Mohd Yassin (Ketua Kampung Sauk) atau En. Osman (Ketua Kampung Ngor).

Ihtifal PASTI Kawasan Padang Rengas

Kota Tampan Air, 29 JUN- Pasti Kawasan Padang Rengas telah berjaya mengadakan Ihtifal peringkat kawasan yang diadakan di Dewan PASTI Kota Tampan Air Lenggong. Semua PASTI kawasan Padang Rengas mengambil bahagian.

Acara yang dipertandingkan ialah bercerita, sajak, hafazan, nasyid dan membaca khutbah. Sambutan dan sokongan yang padu ditunjukkan oleh pihak ibu bapa, guru serta masyarakat setempat membuktikan PASTI merupakan intitusi penting dalam memberikan sumbangan terhadap bidang pendidikan negara.

Keterampilan serta keyakinan yang ditunjukkan oleh pelajar- pelajar PASTI dalam acara yang dipertandingkan membuktikan bahawa perjuangan Islam tidak pernah tandus dalam melahirkan pemimpin yang berwibawa.

Majlis dirasmikan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Padang Rengas dan diakhiri dengan acara penyampaian hadiah.

Pihak pengelola ihtifal merakamkan Jazakumullahu Khairan Kathira kepada semua yang terlibat menjayakan majlis ini.

20 June 2008

Ketua Kampung, JKKK mulakan tugas sebelum dapat surat pelantikan

Ekmal Yusof Fri Jun 20, 08 12:08:32 pm MYT
KUALA KANGSAR, 20 Jun (Hrkh) ? Ketua-ketua Kampung dan JKKK baru yang telah dipilih oleh penduduk dalam pilihan raya kecil di tempat masing-masing baru-baru ini telah memulakan tugas walaupun surat perlantikan jawatan mereka masih belum diserahkan oleh Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.
Seorang aktivis PAS, Haji Amran Bin Mansor, 50, yang telah dipilih sebagai Ketua Kampung Beluru/Geliong di DUN Chenderoh baru-baru ini memberitahu Harakahdaily, beliau sedang berusaha memberi pertolongan kepada 100 orang ibu tunggal, 20 orang anak yatim dan golongan miskin yang memerlukan bantuan segera.
"Inilah tugas saya sejak dipilih awal bulan ini menjadi wakil kerajaan bagi mengetengahkan pelbagai masalah penduduk dalam tiga buah kampung iaitu Kampung Sri Desa, Kubang Halban, Beluru dan Geliong kepada agensi kerajaan di Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar dan di Ipoh," tegasnya.
Katanya, sejak kebelakangan beliau sering berulang alik ke Pejabat Kebajikan Masyarakat, Pejabat Tanah dan Pertanian dekat sini bagi menyelesaikan masalah yang dibangkitkan..
Beliau berasa sangat terharu terhadap penjawat kerajaan sekarang yang gembira menerima kedatangan orang kampung dan menyambut dengan penuh mesra, tidak seperti sewaktu zaman BN memerintah, buat layan tak layan sahaja dan disuruh datang lain kali.
"Sekarang, rumah saya seolah-olah seperti pejabat Menteri Besar, setiap hari ada saja orang datang mengadu hal," tegasnya berjenaka.
Walau bagaimanapun katanya, beliau gembira bertugas dengan Kerajaan Pakatan Rakyat dan akan memberikan khidmat yang terbaik kepada kerajaan dan orang ramai demi bagi kemajuan rakyat seluruhnya.

27 May 2008

Boikot Utusan dan Mingguan Malaysia bermula hari ini ! - Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Hrkh) - Pakatan Rakyat hari ini melancarkan kempen memboikot akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia yang didakwa menyiarkan laporan berbaur perkauman dan berat sebelah
Kenyataan itu dibuat bersama antara Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang yang diwakili oleh Timbalannya, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang diwakili Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng di Lobi Parlimen dalam sidang media tergempar pagi tadi.
Menurut Dr Wan Azizah yang membacakan kenyataan bersama itu,selepas pilihan raya umum lalu, akhbar-akhbar arus perdana sudah mula menunjukkan keterbukaan terhadap laporan mereka sedikit.
Namun, ada juga akhbar sebaliknya membuat laporan berat sebelah dan berbaur perkauman selain laporan yang tidak tepat terhadap pemimpin Pakatan Rakyat (PAS, DAP dan KeADILan), ujar wan Azizah. "Yang paling teruk sekali ialah akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia, mereka masih terus memburuk-burukkan pemimpin-pemimpin dalam pakatan secara tidaka dil seolah-olah mereka masih jalankan kempen pilihan raya walaupun pilihan raya telah tamat lebih tiga bulan lalu," dakwanya.
Selain itu dakwanya, Utusan juga mengapi-apikan sentimen perkauman sempit dengan tujuan jelas menimpulkan kemarahan orang Melayu terhadap parti dan pemimpin utama Pakatan Rakyat.
"Kami sentiasa mendukung Perlembagaan Persekutuan, dan kami ingin membela nasib semua rakyat tanpa mengira kaum agama dan gender,
"Kami tidak mahu melihat kekayaan negara dibolot oleh segelintir pemimpin berkuasa dan kroni yang kaya," katanya.
"Justeru kami (Pakatan rakyat) menyeru Utusan dan Mingguan Malaysia diboikot hari ini.Pengiklan-pengiklan juga digesa berhenti dari melanggan iklan di akhbar tersebut," katanya.

24 May 2008

Sukan PASTI Pas Kawasan Padang Rengas

Padang Rengas, 19 Mei- PASTI Kawasan Padang Rengas berjaya mengadakan sukan PASTI peringkat kawasan bertempat di perkarangan Musolla Al- Ehsan, Paya Purnama (Paya Ranggam). Program yang di mulakan pada jam 9 pagi dihadiri oleh para ibu bapa serta penduduk setempat berakhir pada jam 12.00 tengahari.
Pihak Jawatankuasa Pengelola sangat berbesar hati kerana program tersebut telah dirasmikan oleh YB Tn. Hj Zainuddin b Mohd Yusof, Exco Kerajaan Negeri Perak merangkap ADUN Lubuk Merbau serta Timbalan YDP Pas Kawasan Padang Rengas.

Sebayak 6 buah PASTI di kawasan Padang Rengas yang mengambil bahagian dalam sukan tersebut. Murid- murid PASTI menunjukkan semangat perjuangan yang tinggi dalam setiap acara yang dipertandingkan, menggambarkan semangat mereka untuk menerajui pimpinan PAS pada masa akan datang.Disamping acara pelajar PASTI, disediakan acara- acara selingan untuk guru- guru PASTI, Pegawai Sukan, Bekas Pelajar PASTI, remaja perempuan, remaja lelaki dan golongan dewasa. Antara acara tradisi sukan ini ialah "menunggang motosikal lambat".Pada tahun ini pula ditambah dengan acara baru seperti "menunggang basikal lambat" dan acara "jet daun lalang" yang sangat popular bagi kanak- kanak era 80an dan sebalumnya.
Kemuncak acara ialah penyampaian hadiah kepada peserta dan cabutan nombor bertuah.

21 May 2008

Tahniah! buat Ustaz Nik Mahadi

KUALA KANGSAR, 18 MEI- Seluruh saf kepimpinan MTD Chenderoh merakamkan sekalung tahniah kepada Ustaz Nik Mahadi yang telah diijab kabulkan pada hari ini di Masjid Taman Kuala Kangsar. Majlis akad nikah disempurnakan sendiri oleh bapa mertuanya dengan disaksikan oleh kaum keluarga, sahabat handai serta penuntut- penuntut PAKAT.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah YDP Pas Padang Rengas, AJK Pas Kawasan Padang Rengas, Ketua Dewan Pemuda Pas Kawasan Padang Rengas serta saf kepimpinannya.
MTD Chenderoh sangat bertuah di atas kehadiran beliau di kawasan Padang Rengas khususnya, kerana sumbangan beliau yang begitu besar dalam aktiviti dakwah di kawasan ini walaupun beliau berasal dari negeri Kelantan.

Selepas majlis akad nikah semua hadirin dijemput untuk menjamu selera di rumah mertuanya berhampiran masjid berkenaan.Semoga beliau dilimpahi keberkatan di dunia dan akhirat bersama keluarga yang dibinanya.



14 May 2008

Pakatan Rakyat akan gegarkan Mini Stadium Manjoi 16 Mei ini

IPOH, 14 Mei (Hrkh) - Sempena lawatan kerja Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaludin ke Daerah Kinta pada 16 Mei ini, buat pertama kalinya Mini Stadium Gugusan Manjoi akan digegarkan dengan ceramah perdana.
Mini Stadium Gugusan Manjoi yang dibina diera BN berkuasa sebelum ini hanya untuk tatapan masyarakat di kawasan Manjoi tetapi belum pernah digunakan lagi. Ia hanya digunakan sewaktu perasmiannya oleh Perdana Menteri.
Mengikut sumber yang boleh dipercayai padang mini stadium tersebut dikatakan tidak mengikut spesifikasi ukuran padang bola yang sebenar. Ia hanya layak untuk perlawanan bola sepak di antara murid-murid Tadika sahaja.
Mengikut apa yang diperkatakan oleh seorang pengadil yang bertauliah baru-baru ini, padang ini tidak mengikut sukatan yang betul jadi perlawanan bolah sepak tidak boleh diadakan di sini.
Astaka mini stadium yang indah ini telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan gemilangnya, tetapi ia hanya projek kebanggaan Umno Tambun sahaja.
Malah astaka yang indah ini telah dijadikan `sarang maksiat' untuk remaja dan belia melakukan perbuatan sumbang tanpa segan silu.
"Oleh kerana mini stadium ini tidak digunakan untuk perlawanan bolasepak, lebih baik dihunakan untuk majlis ceramah, kedatangan Menteri Besar ke sini sekali gus 'merasmikan' mini stadium ini dengan ceramah perdana," jelas Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Tambun, Zairul Azrun Zainal Abidin.

Siapa pembekall peralatan ICT sebanyak RM2.1 billion?

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Hrkh) - Timbalan Menteri Pelajaran Dato' Razali Ismail (BN-Kuala Terengganu) tidak mempunyai jawapan kepada soalan yang dikemukakan oleh Azmin Ali (KeADILan-Gombak) berhubung syarikat yang mendapat projek bagi membekalkan peralatan ICT yang bernilai RM2.1 billion.
Dalam penjelasan kepada soalan yang dikemukakan oleh Nga Kor Ming (DAP-Taiping), Razali memperincikan jumlah perbelanjaan bagi melaksanakan dasar mengajar sains dan matematik dalam bahasa inggeris.
Antara butir-butir perbelanjaan yang dinyatakan oleh Razali termasuklah pembekalan peralatan ICT iaitu RM2.1 billion, perbelanjaan ICT berjumlah RM2.4 juta, latihan perkhidmatan RM317 juta dan intensif kepada guru RM638 juta.
Bagaimanapun, Azmin dalam soalan tambahannya meminta menteri berkenaan memberitahu Dewan syarikat mana yang mendapat tender bagi membekalkan ICT itu memandangkan jumlah perbelanjaan itu terlalu besar.
"Untuk perbelanjaan membekalkan peralatan ICT itu jumlanya terlalu besar, ini kerana bukan untuk melaksanakan dasar ini tetapi untuk mewujudkan kontrak untuk kroni, bolehkah YB memberitahu Dewan syarikat mana yang mendapat tender itu," katanya dalam sesi soal jawab pagi tadi.
Razali pula menganggap pertanyaan yang dikemukakan kepada beliau berbaur politik dan beliau tidak menjawab.
Tuan Yang di-Pertua Tan Sri Dato' Pandikar Amin pula mencelah dan memberitahu Razali tidak perlu menjawab jika pertanyaan itu bersifat politik.
Azmin yang tidak berpuas hati terus mencelah dan membidas Razali bahawa pertanyaannya itu bukan bersifat politik sebaliknya ia adalah perkara yang harus diketahui oleh rakyat.
"Ini bukan pertanyaan politik, ini adalah soalan yang perlu ada jawapannya saya hanya menanyakan siapa yang dapat tender itu.
"Jika timbalan menteri tak boleh jawab, saya tunggu jawapan daripada menteri," katanya sebaik sahaja Razali duduk.
Soalan asal, Nga Kor Ming, meminta menteri terbabit menyatakan jumlah peruntukan yang telah dibelanjakan untuk melaksanakan dasar mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris sejak 2003 mengikut peringkat sekolah rendah dan menengah serta tahap pencapaian sehingga kini.

Tajol Rosli dicabar letak jawatan

IPOH, 14 Mei (Hrkh) - Bekas Menteri Besar Perak, Dato' Tajol Rosli Ghazali sepatutnya bukan hanya berani meletakkan jawatan sebagai Adun Pengkalan Hulu, sebaliknya beliau mesti sanggup meletakkan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak dan Pengerusi Barisan Nasional negeri itu.Demikian ditegaskan Bendahari PAS Negeri Perak, Dr. Khairuddin Dato' Abdul Malik ketika ditemu bual wartawan Harakah di pejabatnya hari ini.
Beliau menyifatkan kenyataan bekas Menteri Besar Perak itu sebagai orang yang ingin menutup kelemahan dirinya sendiri sekali gus ingin menutup desakan daripada beberapa bahagian Umno negeri itu yang mahu Tajol berundur dari Pengerusi Umno Perak.
"Tajol Rosli tidak perlu mencari publisiti murahan, umumnya semua orang tahu banyak bahagian Umno di negeri itu yang tidak lagi mahu Tajol Rosli kekal sebagai Pengerusi Umno Negeri," katanya.
Antara bahagian yang lantang menyuarakan agar Tajol Rosli berundur segera daripada jawatan Pengerusi Umno Negeri, ialah Umno Bahagian Kampar dan Umno Bahagian Kamunting.
"Sepatutnya Tajol Rosli mengikut langkah bekas Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Khir Toyo dan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, yang bertanggung jawab dengan kekalahan yang dialami BN di negeri itu sehingga negeri itu dapat dikuasai Pakatan Rakyat," tegasnya.
Menurut beliau lagi, Tajol Rosli sudah `gila talak' dan seakan tidak mengakui Negeri Perak sudah terlepas ke tangan Pakatan Rakyat apabila beliau menyatakan rakyat Perak telah tersilap membuat keputusan dan terpengaruh dengan dakyah pembangkang.
"Sekarang ini Pakatan Rakyat bukan lagi pembangkang, ia sudah menjadi Kerajaan Negeri, yang jadi pembangkang sekarang adalah BN Negeri Perak. Tajol Rosli membuat kenyataan kononnya berani untuk meletakkan jawatan sebagai Adun Pengkalan Hulu tetapi tidak bersungguh-sunguh.
"Kalau berani letakkan jawatan sebagai Adun Pengkalan Hulu sekarang, Insya-Allah Pakatan Rakyat akan sanggup menentangnya," katanya.
Beliau juga mahu bukan sahaja Tajol Rosli sahaja yang meletakkan jawatan tetapi Adun dari Umno di dua kawasan, Pengkalan Bharu dan Kamunting meletakkan jawatan dan mengosongkan kerusi itu.
Ini kerana katanya, kemenangan Adun di dua kerusi itu adalah dibantu oleh undi pos, umpamanya calon PAS bagi DUN Pengkalan Bharu, Ustaz Abu Bakar Hussein kalah dengan majoriti yang terlalu kecil iaitu 46 undi.
Oleh itu kerusi Pengkalan Bharu dan Kamunting juga perlu dikosongkan dan diadakan pilihan raya kecil, katanya.