14 May 2008

Siapa pembekall peralatan ICT sebanyak RM2.1 billion?

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Hrkh) - Timbalan Menteri Pelajaran Dato' Razali Ismail (BN-Kuala Terengganu) tidak mempunyai jawapan kepada soalan yang dikemukakan oleh Azmin Ali (KeADILan-Gombak) berhubung syarikat yang mendapat projek bagi membekalkan peralatan ICT yang bernilai RM2.1 billion.
Dalam penjelasan kepada soalan yang dikemukakan oleh Nga Kor Ming (DAP-Taiping), Razali memperincikan jumlah perbelanjaan bagi melaksanakan dasar mengajar sains dan matematik dalam bahasa inggeris.
Antara butir-butir perbelanjaan yang dinyatakan oleh Razali termasuklah pembekalan peralatan ICT iaitu RM2.1 billion, perbelanjaan ICT berjumlah RM2.4 juta, latihan perkhidmatan RM317 juta dan intensif kepada guru RM638 juta.
Bagaimanapun, Azmin dalam soalan tambahannya meminta menteri berkenaan memberitahu Dewan syarikat mana yang mendapat tender bagi membekalkan ICT itu memandangkan jumlah perbelanjaan itu terlalu besar.
"Untuk perbelanjaan membekalkan peralatan ICT itu jumlanya terlalu besar, ini kerana bukan untuk melaksanakan dasar ini tetapi untuk mewujudkan kontrak untuk kroni, bolehkah YB memberitahu Dewan syarikat mana yang mendapat tender itu," katanya dalam sesi soal jawab pagi tadi.
Razali pula menganggap pertanyaan yang dikemukakan kepada beliau berbaur politik dan beliau tidak menjawab.
Tuan Yang di-Pertua Tan Sri Dato' Pandikar Amin pula mencelah dan memberitahu Razali tidak perlu menjawab jika pertanyaan itu bersifat politik.
Azmin yang tidak berpuas hati terus mencelah dan membidas Razali bahawa pertanyaannya itu bukan bersifat politik sebaliknya ia adalah perkara yang harus diketahui oleh rakyat.
"Ini bukan pertanyaan politik, ini adalah soalan yang perlu ada jawapannya saya hanya menanyakan siapa yang dapat tender itu.
"Jika timbalan menteri tak boleh jawab, saya tunggu jawapan daripada menteri," katanya sebaik sahaja Razali duduk.
Soalan asal, Nga Kor Ming, meminta menteri terbabit menyatakan jumlah peruntukan yang telah dibelanjakan untuk melaksanakan dasar mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris sejak 2003 mengikut peringkat sekolah rendah dan menengah serta tahap pencapaian sehingga kini.