14 May 2008

Tajol Rosli dicabar letak jawatan

IPOH, 14 Mei (Hrkh) - Bekas Menteri Besar Perak, Dato' Tajol Rosli Ghazali sepatutnya bukan hanya berani meletakkan jawatan sebagai Adun Pengkalan Hulu, sebaliknya beliau mesti sanggup meletakkan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak dan Pengerusi Barisan Nasional negeri itu.Demikian ditegaskan Bendahari PAS Negeri Perak, Dr. Khairuddin Dato' Abdul Malik ketika ditemu bual wartawan Harakah di pejabatnya hari ini.
Beliau menyifatkan kenyataan bekas Menteri Besar Perak itu sebagai orang yang ingin menutup kelemahan dirinya sendiri sekali gus ingin menutup desakan daripada beberapa bahagian Umno negeri itu yang mahu Tajol berundur dari Pengerusi Umno Perak.
"Tajol Rosli tidak perlu mencari publisiti murahan, umumnya semua orang tahu banyak bahagian Umno di negeri itu yang tidak lagi mahu Tajol Rosli kekal sebagai Pengerusi Umno Negeri," katanya.
Antara bahagian yang lantang menyuarakan agar Tajol Rosli berundur segera daripada jawatan Pengerusi Umno Negeri, ialah Umno Bahagian Kampar dan Umno Bahagian Kamunting.
"Sepatutnya Tajol Rosli mengikut langkah bekas Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Khir Toyo dan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, yang bertanggung jawab dengan kekalahan yang dialami BN di negeri itu sehingga negeri itu dapat dikuasai Pakatan Rakyat," tegasnya.
Menurut beliau lagi, Tajol Rosli sudah `gila talak' dan seakan tidak mengakui Negeri Perak sudah terlepas ke tangan Pakatan Rakyat apabila beliau menyatakan rakyat Perak telah tersilap membuat keputusan dan terpengaruh dengan dakyah pembangkang.
"Sekarang ini Pakatan Rakyat bukan lagi pembangkang, ia sudah menjadi Kerajaan Negeri, yang jadi pembangkang sekarang adalah BN Negeri Perak. Tajol Rosli membuat kenyataan kononnya berani untuk meletakkan jawatan sebagai Adun Pengkalan Hulu tetapi tidak bersungguh-sunguh.
"Kalau berani letakkan jawatan sebagai Adun Pengkalan Hulu sekarang, Insya-Allah Pakatan Rakyat akan sanggup menentangnya," katanya.
Beliau juga mahu bukan sahaja Tajol Rosli sahaja yang meletakkan jawatan tetapi Adun dari Umno di dua kawasan, Pengkalan Bharu dan Kamunting meletakkan jawatan dan mengosongkan kerusi itu.
Ini kerana katanya, kemenangan Adun di dua kerusi itu adalah dibantu oleh undi pos, umpamanya calon PAS bagi DUN Pengkalan Bharu, Ustaz Abu Bakar Hussein kalah dengan majoriti yang terlalu kecil iaitu 46 undi.
Oleh itu kerusi Pengkalan Bharu dan Kamunting juga perlu dikosongkan dan diadakan pilihan raya kecil, katanya.