06 July 2009

Isu Chin Peng: YB Hj. Zainuddin sanggah Laporan Sinar Harian

Adun Lubuk Merbau, YB Hj. Mohd Zainuddin Mohd Yusuf menyanggah laporan akhbar Sinar Harian edisi Perak pada 1 Julai yang yang mengatakan beliau menyifatkan bekas Ketua Parti komunis Malaya (PKM), Chin Peng sebagai seorang patriot.

"Saya tidak pun mengerluarkan kenyataan itu ketika berceramah Markaz PAS kawasan Lenggong di Kampung Lawin pada 21 Jun lalu," tegasnya. Beliau berkata demikan dalam sidang medianya di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Lubuk Merbau semalam.

Serentak dengan itu beliau menafikan pernah memberi pengiktirafan 'Patriot' kepada Chin Peng sebagaimana yang laporkan oleh akhbar Sinaran Harian."Chin Peng memang seorang pejuang tetapi dia bukan berjuang untuk kemerdekaan tanah air! Saya tidak pernah mengatakan Chin Peng seorang Patriot, tegasnya.

Akibat daripada laporan yang dibuat oleh Sinar Harian itu, Persatuan Perajurit Malaysia di sini telah menghantar satu memorandam mendesak supaya beliau menarik balik kenyataan tersebut dan memorandam itu telah diserahkan kepada Setiausaha Eksekutif beliau, Azmil Iswadi pada 5 Julai lalu.

"Ucapan yang saya pada malam tersebut tidak sekali-kali menyatakan bahawa Chin Peng adalah seorang wira atau seorang patriot yang patut disanjung,"jelas Zainudin.

Menurutnya, beliau hanya menyentuh dari segi menjelaskan aspek perikemanusiaan di mana Chin Peng berhasrat untuk pulang ke Malaysia untuk menziarahi pusara ibu bapanya. Zainudin menjelaskan, semenjak perjanjian damai yang ditandatangani diantara kerajaan Malaysia dengan Parti Komunis Malaya di Hatyai, Thailand, sekitar 338 bekas komunis telah dibenarkan pulang ke tanah air oleh Kerajaan Malaysia.

"Saya berpendapat, sekiranya pemimpin-pemimpin komunis kaum Melayu seperti Musa Ahmad, Shamsiah Fakeh, Rashid Maidin, Abdullah Sidi dan lain-lain mendapat kebenaran,apalah salahnya kerajaan Malaysia menimbang kemudahan yang sama untuk Chin Peng?" katanya.

Negara ini pada masa sekarang katanya, mengamalkan dasar berbaik dengan semua negara termasuk negara komunis, malah pimpinan negara telah mengunjungi negara negara komunis seperti China, Rusia dan Cuba. "Atas dasar sikap perikemanusiaan, yang selalu dipamerkan oleh rakyat negara ini dan kerajaan, tidak salah saya menyampaikan satu pandangan yang positif," jelasnya.

Dalam masa yang sama beliau menyanjung tinggi kepekaan Persatuan Bekas Perajurit Malaysia yang berjuang untuk negara dan turut berkongsi sentimen dan sokongan yang bulat terhadap seluruh perjuangan mereka untuk mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara.

Ditanya samada beliau telah dipanggil oleh pihak keselamatan berhubung laporan akhbar tersebut, Zainudin menyatakan buat masa ini belum lagi."Mungkin kerana mereka sendiri ada merakamkan ucapan saya pada malam tersebut dan pihak saya sendiri pun ada rakaman tersebut sebagai bukti apa sebenarnya yang saya ucapkan pada malam tersebut," jelas Zainudin.

Beliau membuat penjelasan tersebut bagi mengelakan isu tersebut dipergunakan dan diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk mengelirukan orang ramai.