Sauk, 24 Julai 2009- Pas Perak masih menunggu 2 persoalan yang belum dijawab oleh DS Harusani Zakaria (Mufti Perak).
Pertama: Isu Bomoh di Dewan Undangan Negeri Perak, oleh UMNO sebelum berlangsungnya kekecohan sidang DUN Perak pada 7 Mei 2009 yang lalu.
Kedua: Isu Jom Heboh (dulu Sure Heboh) yang pernah difatwakan sebagai haram oleh DS Harusani Zakaria. Jom Heboh kembali ke bumi Perak apabila Kerajaan Pakatan Rakyat tumbang angkara kerja keji BN. Yang menjadi persoalan ialah kewajaran DS Harusani menghadiri program berkenaan yang diadakan di kem TLDM Lumut baru- baru ini, walaupun dinafikannya pada peringkat awal ketika pertemuannya dengan Dewan Pemuda Pas Perak.
Demikian dinyatakan oleh YB Drs Khalil Idham Lim (ADUN Titi Serong) juga merupakan Ketua Penerangan Pas Negeri Perak semasa berceramah di Markaz Pas Sauk.
Ini ekoran dari isu gambar pegang lilin oleh DS Nizar bersama beberapa orang ADUN Pakatan Rakyat. Mufti Perak sekali lagi menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat apabila dengan pantasnya menghukumnya sebagai perbuatan haram.
Oleh itu Drs Khalil Idham membidas sikap Mufti Perak itu yang masih membisu terhadap dua isu yang dikemukakan di atas.
Drs Khalil Idham juga mengulas tentang kekeliruan isu pegang lilin seperti mana yang dimuatkan dalam akhbar harakah keluaran terbaru.
Terdahulu YB Hj Zainuddin (ADUN Lubuk Merbau) yang juga YDP Pas Kawasan Padang Rengas mengupas isu- isu semasa di Perak antaranya seperti isu Chin Peng dan isu saman Ketua Kampung kepada kerajaan negeri Perak.
Kehadiran orang ramai amat menggalakkan walaupun hebahan dilakukan dalam masa yang cukup singkat. Ini menggambarkan rakyat sangat dahagakan maklumat yang benar terutama isu- isu yang melanda negeri Perak.