Asap putih menyusur di celah dedaun pokok nan rimbun itu. Kepulan yang naik menjulang langit, menutupi
sebahagian hadapan rumah papan. Kiri kanan tingkap terbuka lebar,
memuntahkan haba panas yang mencengkam rasa. Pedih mata, tak terkata
hingga nafas tercungap-cungap dada.
Asakan gas
bertubi-tubi terus dilemparkan dan dihalakan ke arah susuk-susuk tubuh
yang sudah tidak keruan. Asalnya, mereka sekadar terpacak di balik pagar
buluh, di ruang laman. Sebuah kereta perisai, gah berada sejengkal dari
mereka sambil menghalakan muncungnya tepat kepada mangsa.
Keributan
dan kekalutan dasyat pagi itu, disaksikan fajar yang baru terbit di
alis awan dengan iringan sejumlah ketumbukan lebih 3,000 anggota
keselamatan yang mengepung kawasan. Orang kampung, hanya mampu mengetap
bibir sambil melihat dengan pandangan yang berkaca.
Tidak
lama kemudian, tragedi menghayat hati pun memulakan kisah lukanya. Saat
itu, sebiji kelongsong peluru gas pemedih mata menghentak buju dahi
gadis comel Naziah Hassan, 12 yang berada di situ. Memercik darah merah
menyala dan dia akhirnya rebah serta-merta.
Shafie,
seorang guru yang melihat kelibat Naziah yang jatuh ke tanah, sudah
tidak dapat menahan pilu, lalu membungkam rasa geram yang sudah
membuak-buak akibat kecelakaan itu. Dia langsung melompat pagar lalu
meluru ke arah pasukan yang sudah siap siaga.
Dia
berhenti lalu melaungkan takbir, sambil menghunus pedang. Belum sempat,
nafas dihidu, dua das tembakan tepat mengena tubuhnya, yang kemudiannya
longlai menyembah bumi Memali. Tubuhnya, syahid pertama dipanggil
Illahi.
Kemudian, di ruang tingkat atas rumah
yang masih bermain dengan asap dan bau busuk gas puaka, Abdullah Che Soh
sedang bertahan, cuba mengangkat tangan untuk meleraikan keadaan dan
minta tidak diapa-apakan. Beliau mengepung dua anggota keselamatan
supaya menghentikan tembakan.
Tersalah atur,
Abdullah yang dikenali sebagai Pak Tam dihujani peluru tak bermata.
Bukan satu tetapi tujuh. Dua tembakan di dada, dua di lengan dan dua di
telapak tangan. Yang terakhir tertusuk di kiri pinggangnya, yang
membuatkan Pak teh mula berpinar-pinar dan tersungkur. Darahnya basah di
seluruh badan.
Ketika sekujur tubuhnya berada di
laman, Pak Tam tak mampu membuka kelopak matanya yang sudah mula
direnjis renyai-renyai hujan, yang berkabung mendung.Darahnya mengalir
laju, disirami gerimis pagi itu.
Abdul Rahim Waboh
yang berada di belakang rumah terpaksa meniarap, lantaran tembakan
bersimpang-siur mencari nyawa. Dia asalnya mahu ke kebun getah sejurus
mendengar kuliah subuh Ustaz Ibrahim Libya, terpinga-pinga sambil
menyelamatkan diri.
Lain pula dengan Azmi Haji
Salim dan Mat Ramli Che Mit, masing-masing berhati kental berhadapan
dengan pasukan keselamatan di batas sawah.
Azmi
dengan hanya berbekalkan buah-buah guli sekarung yang tersisip di
pinggangnya tidak teragak-agak melastik anggota yang melepaskan
tembakan. Kena ataupun tidak, dia tidak peduli sehinggalah muncung
senapang rapat ke mukanya, tanda perlu menyerah diri serta-merta.
Manakala
Mat Ramli yang pada mulanya cuba menghalang anggota keselamatan
daripada mara ke hujung jalan rumah Ustaz Ibrahim, terpaksa meredah
hutan berundur diri.
Kemudian anak Azmi dikenali
Mohd Zahir,13 yang menyusup dengan guni basah bergerak seiring dengan
anggota keselamatan, akhirnya ditangkap sambil dihayun penumbuk ke
mukanya sehingga berdarah. Kemudian ceritanya, dia dihumban ke dalam
trak.
Di celah semak dan timbunan kayu, seorang
anak muda Muhammad Ahoiri memerhati dari jauh. Dia sudah tidak dapat
menahan sebak, mengalir air mata semahunya. Di pandanganya terlihat ayah
dan adiknya diseret ke penjuru jalan.
Kemudian
dia melihat beberapa sahabatnya seorang demi seorang sujud tak bernyawa
lagi. Antara yang jelas ialah Razki dan Ghazali yang sebentar tadi baru
sahaja mengunyah sarapan pagi dengannya di perdu pisang berhampiran
rumah Ibrahim.
Masing-masing menjamah nasi goreng,
sambil menitip nasihat akidah dan tauhid kepada Ahoiri. "Niat dan
buatlah bersungguh-sungguh kerana Allah, dan jika mati kita tidak
sia-sia...insya-allah syahid hendaknya."
Kata-kata
mereka berdua, terakam kemas diingatan dan kini, mereka mendahuluinya
menemui tuhan. Ahoiri, tidak mampu lagi mengesat air matanya yang sudah
menumpah.
Di anjung rumah, mula kedengaran esakan
tangisan yang memilukan. Anak-anak kecil sedang meratapi dan memeluk
tubuh ayah mereka nan kaku. Si-ibu sudah tak terkata apa-apa, lantas
mengucup dahi insan yang dicintai, merelakan pergi dengan air mata basah
di pipi.
Babak sayu itu tidak terhenti di situ.
Selagi batang tubuh Ustaz Ibrahim Libya tidak menyerahkan diri, selagi
itulah muntahan senjata dan rempuhan demi rempuhan terus berlaku.
Ibrahim
yang ketika itu berada di sebalik tiang berhampiran dinding rumah,
tidak berganjak dengan nawaitu pendiriannya yang kejap dan tegas. Tak
akan menawar dan menggadaikan diri untuk Akta Keselamatan Dalam Negeri
(ISA).
"Daripada hidup bercermin bangkai, lebih baik bergalang tanah," kata-kata hikmat yang dingati sebilangan besar anak muridnya.
Ibrahim
makin tidak dapat menerima alasan, beliau dianggap penjenayah,
pengganas dan guru ajaran sesat. Selama ini, kerjanya dan amalnya
semata-mata mentauhidkan Allah. Dan subuh tadi sebelum tragedi ini,
selesai solat beliau menyampaikan kuliah akidah.
Serangan
seterusnya menyasarkan Ibrahim tanpa amaran. Dua peluru daripada
anggota keselamatan pantas meluru memamah dada dan perut Ibrahim.
Percikan darah mula menyimbah. Di tengah ruang itu, anak bongsu
Ibrahim, Norsyuhada sudah lama rebah dek kerana pengsan terhidu gas
pemedih mata.
Kemudian tubuh Ibrahim diusung ke
penjuru dapur rumah. Di pangkuan isterinya Solehah, beliau tidak
henti-henti menyebut kalimah Allah dan akhinya doanya diserap langit nan
tinggi, gugur syahid mengadap Illahi.
Beliau
kembali menemui tuhannya bersama 13 sahabatnya yang lain, yang turut
menyembah bumi. Dan hari itu, tanggal 19 November 1985, maka sejarah
hitam penuh nanah terpahat dalam lipatan penuh kelam. Awan dingin
memayungi kampung Memali dengan rembesan air yang senada tangisan
makhluk di bawahnya.
Kemudian kisah seharian itu melabuhkan tirainya pada petang itu.
Gelimpangan
jenazah kemudiannya diangkat. Ramai digari dan disusun rapi berarak ke
atas trak. Kemudian disumbat ke penjara di serata tempat. Yang cedera
dan darah masih merah pekat, diikat dan dibawa ke hospital untuk
dirawat. Kampung itu masih dikepung dan di bawah perintah darurat.
Dua
hari kemudian, Almarhum Ustaz Fadzil Noor Presiden PAS ketika itu
bersama pendokong perjuangan Islam yang lain sudah bersiap sedia
menguruskan jenazah yang berada di rumah mayat sejak peristiwa pedih
itu. Tatkala mengangkat satu persatu jenazah itu,daripada bilik simpanan
beku, terasa hangatnya lagi darah yang mengalir.
Dengan
van buruk, mereka membawa jenazah syuhada itu ke Masjid Parit Panjang,
yang jauhnya 15 kilometer daripada tempat kejadian yang sudah disekat
masuk dan dihalang untuk sebarang pengebumian dilakukan.
Dan
13 syuhada itu kemudiannya dilayan selayaknya seorang syuhada, disimpan
dan dikebumikan dalam keadaan darah masih merah mengalir di tubuh,
menjadi saksi kepada Pencipta Langit dan Bumi. Salah seorang syuhada
pula dikebumikan di kaki gunung di Alor Melintang.
Tanah
kubur Pasir Panjang kemudian memeluk erat pejuang Memali itu yang
antaranya terdiri daripada seorang guru, ustaz, enam penoreh getah,
pegawai agensi kerajaan, pemandu teksi, penjual buah, pekebun dan
bekerja sendiri. Lalu, hari-hari kemudiannya menjadi sepi dan menyiat
hati sanubari
Maka lengkaplah misi. Biar apapun
alasan, yang penting operasi mereka selesai. Sebenarnya kisah tragis
mengorbankan banyak nyawa tak berdosa, lantaran arahan caca marba dalam
Operasi Hapus yang dipanggil mereka.
Kata pihak
atasan, menggempur kubu pengganas komunis. Kemudian berlaku sebaliknya.
Yang di kepung, rumah orang kampung. Kemudian cerita ditukar lagi. Kata
mereka menangkap penjenayah berbahaya, pengganas dan guru ajaran sesat
bernama Ibrahim Libya.
Hasil daripada kecelaruan,
kebuasan dan kecuaian pemerintah ketika itu, kampung itu dilanggar
musibah. Ibrahim terbunuh bersama 13 lagi pejuang Memali. Manakala empat
anggota keselamatan juga turut terkorban. Beberapa orang terkena
tusukan guli dan libasan pedang. Empat pejuang cedera parah. Lebih 100
disumbat kedalam penjara. 36 lagi disimpan di Kem Tahanan Kamunting,
Taiping.
Tidak cukup dengan itu, seoarang saksi
kejadian Idris Husin sudah tidak boleh menjalani kehidupannya seperti
biasa. Dia hilang ingatan dan trauma tragedi masih terbayang. Idris
tidak boleh mendengar riuh rendah orang ramai, bunyi siren kereta
peronda dan apa jua letupan mahupun bunyian bising. Dia akan menggigil.
Dia semakin menyendiri dan beberapa tahun lalu, Idris pula menemui
Illahi dalam keadaan menderita sepi.
Lebih pilu
dan sayu sepanjang hayat, peristiwa sedih itu meninggalkan puluhan
anak-anak yatim beserta balu-balu yang tidak sempat meraih kasih mesra
insan tersayang dan tercinta. Setiap hari bersulam duka dan mendodoi
anak-anak kecil, dengan zikir dan doa bertemu ayah di syurga.
Tidak
lama kemudian, Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim sudi mencemar duli,
menyumbang 13 batu nisan secara peribadi dan menyirami kubur yang
penghuninya adalah rakyat jelatanya sendiri.
Di
kaca TV, satu rakaman ditayangkan di seluruh negara tentang kejadian
itu. Seorang bekas Menteri sedang menceritakan sesuatu yang tidak
difahami oleh seoarang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ketika itu.
Dia
sedang menonton bersama ayah, ibu dan adiknya yang sedang merengek
manja. Babak anggota keselamatan menembak seorang lelaki yang berdiri
tegak sambil menjulang senjata parang, terus mengejutkan budak itu
lantas bersuara.
"Ayah, kenapa pakcik tu kena
tembak?" Lantas ayahnya bingkas bangun masuk ke bilik tanpa sebarang
kata. Dia melihat ibunya pula, yang juga tidak bernada kecuali air mata
yang berjurai banyaknya.
Saya ketika itu
tertanya-tanya dan 25 tahun kemudian saya sudah berada di bumi Memali,
mencari satu jawapan yang pasti. Bersama rakan, Muhammad Zaki, kami
berdua menjejaki pejuang Memali di suatu pagi yang bening.
Sebenarnya,
setelah diperkenalkan orang kampung, kami menemui ramai pejuang Memali
namun enggan ditemubual. Ada yang cukup malu dan ada yang tidak mahu
membuka luka lama. Sukar asalnya hajat kami berdua untuk menyingkap
kisah sejarah perjuangan orang terdahulu. Bermula pagi, sehinggalah
tengahari, barulah kami berdua berjaya memujuk seorang pejuang Memali.
Beliau
ialah Abdullah Che Soh, yang terkena 7 das tembakan peluru hidup namun
dizin Allah masih bernyawa. Kini, Abdullah yang dikenali Pak Tam, 60
tunduk merenung lantai, sambil mengamati semula satu persatu kisah sayu
itu.
"Allah telah mentakdirkan saya hidup untuk menceritakan semula kisah sedih ini
"Setelah
cedera , saya di bawa ke hospital untuk dibedah. Tangan saya masih
bergari walaupun parah. Setelah dibedah, saya disumbat ke dalam penjara
selama lima bulan.
Kemudian, sambil tersenyum
memandang saya, sambil berkata tenang:"Saya tidak menyesal apa yang
berlaku malah bersyukur terpilih untuk terlibat dalam perjuangan
ini,"katanya sambil menunjukkan parut-parut di badan kesan tujuh
tembakan peluru.
Itu kisah Pak Tam. Dan banyak
lagi cerita yang tak terungkap. Kajang kertas ini tidak cukup
menampungnya. Dari kisah semangat api yang tinggi, sehinggalah cerita
pedih di hati. Ada yang boleh dicebis tetapi banyak yang terpaksa
disisip rapat, agar fitnah yang sedang tidur tidak terus bangkit. Namun
bagi yang ingin menyusuri, datanglah ke bumi ini, Pastinya tidak
menghampakan. Hadirlah ke sini 18 November akan datang, untuk lebih
mengenali pejuang-pejuang dan kisah sejati di sini.
Kami
kemudian bersua dengan Timbalan Mudir Madrasah Islahiah Diniah Ustaz
Yusof Che Mit, antara yang begitu dikehendaki bersama Ustaz Ibrahim dan.
dia sebenarnya pada hari kejadian, berada di Kelantan.
Beliau
agak hairan mengapa Ibrahim ingin ditahan. Katanya dia seoarang yang
cukup dekat di hati masyarakat setempat. Sentiasa mengajar masyarakat
agar tauhid dan bertakwa kepada Allah melalui kuliahnya.
Boleh
bermain guli dengan sicomel kanak-kanak kampung atau sepak takraw
bersama para pemuda di Memali. Pengaruhnya yang besar telah melonjak
namanya dan juga PAS yang perjuangannya berlandaskan Islam.
Akibat
itu, cemburu membungkam mata, menutup kebenaran kata dan gerak gaya
lantas fitnah bermaharajalela menuduh As-syahid Ibrahim Libya pengganas,
penjenayah dan guru ajaran sesat yang perlu ditangkap. Dan ISA sentiasa
mengintai untuk menahannya dari sehari ke sehari.
Melihatkan
kepada latar belakangnya, agak aneh tuduhan yang dilemparkan. Bermula
dari pendidikan Islam asuhan ayahandanya Tuan Haji Mahmood seorang guru
agama yang disegani dan kemudiannya ke Madrasah Khairiah Pokok Sena.
Assyahid
meneruskan pengajian di Pusat Pengajian Tinggi di Nilam Puri untuk
beberapa tahun sebelum belayar ke Lucknow dan Durban, India mendalami
hadis. Beliau sempat berguru dengan tokoh ulama Islam tersohor di abad
ini iaitu Maulana Sayyid Abul Hassan Ali Nadwi. Assyahid berada selama
lebih kurang empat tahun di India sebelum melanjutkan pengajian ke
Azhar, Mesir kemudian menamatkan pengajiannya di Libya.
As-syahid kembali ke tanahair awal tahun 1970an, beliau berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri sebagai Timbalan Pengarah di Institut Dakwah Islamiah Malaysia. Sebagaimana telah dijangka bahawa assyahid tidak sanggup berada lama di bawah ikatan pemerintah yang tidak berpaksi kepada tuntutan agama, lalu meninggalkan segala kedudukannya untuk balik ke kampung halaman mencurahkan bakti sebagai pendakwah, pendidik dan bergerak aktif dalam politik Islam.
Dan selepas
itu, sejarah hitam membaluti Kampung Memali. Dan terkenang dan
meninggalkan kesan sehingga kini. Ibrahim syahid ketika mempertahan
agama Allah.
Setelah menemubual beberapa orang
pejuang, saya dan Zaki melepaskan lelah di sebuah warung di hujung
kampung. Rupanya pemilik warung minuman yang bersih itu, seorang
wartawan sambilan Harakah era Memali dikenali sebagai Tarmizi.
Beliau
sempat bercerita tentang serban milik Azmi yang pernah membalut tubuh
Ustaz Ibrahim yang berlumuran darah akibat tembakan peluru. Katanya lima
bulan selepas kejadian, serban yang itu mencebiskan bau yang cukup
harum selama dua minggu sehingga ramai yang datang melawat melihat
kejadian aneh itu.
"Pergilah balik ke rumah Azmi
untuk lihat tinggalan sejarah....serban tu," katanya kepada kami berdua
yang kemudiannya tanpa lengah menuju semula ke rumah pemilik serban itu.
Dan
kira-kira jam 1.00 pagi, barulah Azmi mengeluarkan serban yang sudah 25
tahun disimpan kemas tanpa dibasuh darahnya yang kini masih jelas
kelihatan. Setelah menemuduga tujuh saksi sehingga jam 3.00 pagi, kami
kemudian melabuhkan badan dan melelapkan mata di bilik Madrasah
tersebut, sambil diselimut sejuk malam.
Keesokan
paginya kami bertemu dengan Abdul Rahim yang membawa kami melihat
kesan-kesan lubang peluru yang menghujani sebuah pondok kecil yang
terletak dalam laman rumah arwah Ibrahim Libya.
Ketika
itu balu almarhum Hajjah Solehah tiada hanya tinggal anak lelaki
as-syahid yang membawa kami meninjau ke dalam rumah yang sudah diubah
suai. Hanya bahagian atas rumah, masih kekal seperti sedia kala, dan
bayangan huru-hara tembakan tak bermata dan laungan kalimah Allah,
menerpa ke fikiran tatkala saya memandangnya.
Pagi
nan hening itu, kami menyedut sedalam-dalamnya udara bersih laman,
tempat berlakunya bertempuran dan merenung sejenak, peristiwa tumpah
darah yang tak berjiwa itu. Sebak, tragedi 25 tahun ini masih membekas.
Ya,
tidak lama lagi, bermula 19 November akan datang, kawasan sekitar
medan tempur dan Kampung Memali ini akan kembali hiruk pikuk dengan
sambutan umat manusia.
Bukan lagi untuk mengadap
atau mengharung hujan peluru dan kepulan asap putih yang kemudiannya
meragut nyawa, tetapi riuh dengan kehadiran gelombang limpahan para
pejuang taat setia kepada perjuangan Islam.
Hadir dan datangnya mereka untuk mengutip kembali semangat yang bertebaran di bumi Memali untuk selama-lamanya.
Jangan
lupa untuk menjengah perkampungan sejarah ini pada 19 November ini
sempena Sambutan 25 tahun peristiwa Memali. Salam perjuangan!
Dipetik daripada: http://www.detikdaily.net/v5/modules.php?name=News&file=article&sid=10668