02 June 2012

WAJIB UNDI PARTI ISLAM: UAI


Apabila diajukan soalan parti manakah yang hendak diundi pada pilihanraya, Ustaz Azhar Idrus (UAI) dengan tegas menyatakan "wajib mengundi parti Islam kerana parti lain tidak mahu melaksanakan undang- undang Islam".

Selain daripada itu beliau juga melahirkan rasa kesal terhadap kerajaan sekarang yang lebih rela melihat masyarakat menjadi rosak apabila kuliah agama dibatalkan manakala hiburan K-Pop dibenarkan. Merujuk kepada pembatalan kuliah beliau di putrajaya semata- mata kerana kuliah K-Pop (Himpunan Sejuta Belia) dijalankan tidak jauh daripada tempat kuliah asal yang sepatutnya beliau sampaikan.

Penampilan beliau berkaca mata hitam di pentas ceramah disambut dengan laungan takbir dalam program Expresi Anak Muda sempena Himpunan Hijau di Stadium Darul Aman. Walaupun hujan serta ribut membasahi bumi Alor Setar sekitar jam 3 petang namun semangat pejuang pas menyahut seruan parti untuk berhimpun amat mengkagumkan.

Ada yang datang bersama rombongan bas, bersama keluarga serta berkonvoi untuk melahirkan keazaman untuk menumbangkan UMNO/ BN pada PRU ke 13 akan datang.

Sama ada angka 100 ribu mencapai matlamat atau tidak, namun jumlah kehadiran penyokong dan pendokong Pas yang datang dengan mengeluarkan duit poket sendiri sudah cukup untuk menggambarkan perbezaan himpunan sejuta belia anjuran BN yang terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi untuk mengangkut belia untuk menghadiri program mereka.

Pengisian program yang mendidik rakyat untuk bertakwa kepada Allah dengan dimulakan kuliah asar, diikuti solat maghrib, solat hajat berjamaah di stadium dan diakhiri dengan amanat pemimpin sudah cukup untuk menolak dakyah bahawa Pas sudah menyeleweng dari landasan sebenar, hanyalah fitnah dari golongan yang munafik.

Dengan kejayaan himpunan terbesar Pas pada kali ini sudah pastinya akan memberikan momentum yang kuat untuk petugas- petugas parti untuk membawa perubahan lanskap politik Malaysia bersama- sama rakan- rakan Pakatan Rakyat