20 November 2012

DENGARLAH RINTIHAN GURU

Pas konsisten dalam membela dan menyuarakan bebanan kerja guru masakini. Buat kesekian kalinya isu pendidikan menjadi antara isu yang menjadi perbahasan utama perwakilan dalam sidang muktamar Pas Pusat baru- baru ini. Isu Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) telah menarik perhatian perwakilan apabila ucapan dasar presiden secara langsung telah menyentuh isu berkenaan.
Ia dihangatkan lagi apabila perbahasan perwakilan seringkali membangkitkan isu berkenaan. Kemuncaknya, apabila Dewan Muslimat Pas Pusat telah membawakan usul agar PBS dikaji semula serta menyelar kementerian pelajaran yang menjadikan guru seumpama robot.
Tinjauan penulis terhadap guru- guru, merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan UMNO/ BN yang telah berjaya menambahkan bebanan kerja guru.

Antara rungutan guru terhadap perlaksanaan sistem ini ialah:
  1. Fokus guru tidak lagi terhadap tugas memberikan ilmu dan pendidikan kepada pelajar tetapi lebih menumpukan kepada tugas key in data dan pengurusan fail.
  2. Akses sistem yang begitu lembab terutamanya pada waktu kerja menyebabkan masa guru dihabiskan begitu sahaja.
  3. Guru terpaksa membuat key in data pada waktu tengah malam hingga mengganggu waktu rehat guru.
  4. Prasarana dan kemudahan internet hanya indah khabar dari rupa. Perlaksanaan projek 1 Bestarinet hanya baru selesai fasa 1 manakala sekolah- sekolah yang belum mendapat kemudahan projek tersebut terpaksa menggunakan talian schoolnet yang begitu lembab atau terpaksa menggunakan kemudahan internet peribadi di rumah.
  5. Sebahagian besar guru terpaksa menanggung kos tambahan dengan duit poket sendiri apabila terpaksa menggunakan komputer sendiri kerana kemudahan komputer yang dibekalkan di sekolah sebahagian besarnya bermasalah dan  sudah rosak.
  6. Guru akan dipersalahkan sekiranya pelajar tidak melepasi Band 1, sedangkan masalah- masalah teknikal sepatutnya di atasi terlebih dahulu oleh kerajaan.
Ada banyak lagi sebenarnya rungutan yang disuarakan oleh rakan- rakan guru yang ditemui namun apakan daya mereka hanyalah penjawat awam dan golongan pelaksana kepada arahan dari pihak atasan.
 Mereka bukanlah  tidak bersetuju dengan pembaharuan serta tranformasi pendidikan yang dibuat oleh pihak kerajaan tetapi setiap perlaksanaan sesuatu sistem perlulah juga mengambil kira kemudahan yang ada di peringkat sekolah.
Ada di kalangan guru yang ditemui merakamkan ucapan terima kasih kepada Pas yang melihat isu ini secara objektif dan rasional.