05 January 2010

Aktivis Pas Pdg Rengas kemalangan


Aktivis Pas Kawasan Rengas yang lebih dikenali dengan panggilan Meor Taliban kini terlantar di hospital Besar Ipoh kerana kemalangan jalan raya.

Kejadian berlaku pada pagi Isnin (4.1.2010) yang lalu ketika beliau dalam perjalanan ke tempat kerja. Mengikut maklumat yang diterima, ketika beliau sedang menunggang motosikal, baju hujan yang dipakainya telah terbelit pada rantai motosikalnya menyebabkan beliau tercampak jatuh dan terus tidak sedarkan diri.

Orang ramai yang berada di belakangnya pada masa itu dengan segera menghubungi ambulan lalu dibawa ke hospital Kuala Kangsar. Apabila imbasan dilakukan, didapati terdapat pendarahan beku pada bahagian dalam kepalanya lalu dihantar ke Hospital Besar, Ipoh.

Kini beliau dirawat di wad 2A, katil 9, wad pembedahan neuro, aras 2, Hospital Besar Ipoh. Menurut maklumat daripada warisnya keadaan beliau dilaporkan stabil dan masih menunggu keputusan doktor sama ada memerlukan pembedahan atau tidak.

Sepanjang penglibatannya dalam Pas, beliau memang dikenali bukan sahaja di kawasan Padang Rengas, malah di luar kawasan Padang Rengas. Ini disebabkan, beliau akan ditemui hampir di setiap lokasi program Pas, sama dekat atau jauh. Malah di kalangan penceramah- penceramah Pas negeri atau pusat sendiri amat mengenali beliau kerana komitmen beliau yang begitu tinggi terhadap setiap aktiviti secara sukarela.

Semangat beliau dalam membantu program- program Pas memang tidak dapat dinafikan lagi kerana beliau akan bertugas tanpa mengira penat dan lelah sama ada berjawatan atau tidak. Beliau sentiasa memberikan dorongan dang semangat kepada golongan muda dalam membantu perjuangan Pas.

Marilah kita mendoakan agar beliau akan sembuh dengan izin Allah dan dapat meneruskan khidmat dalam perjuangan Islam. Mudah- mudahan keluarganya juga akan dikurniakan ketabahan dalam menghadapi suasana dan ujian ini.