PUTRAJAYA, 1 Sept: DAP dan Umno terus mendahului PAS
dalam mendaftar pemilih baru apabila masing-masing mendaftar 9,106 dan
7,230 bulan Julai lalu berbanding dengan PAS hanya PAS (3,961) manakala
PKR (1,749).
Kedudukan ini menjadikan DAP dan Umno masing-masing
mendaftar 38 dan 30 peratus dari jumlah keseluruhan pemilih baru yang
didaftarkan Julai lalu. Jumlah yang didaftarkan oleh penolong pendaftar
dari parti-parti politik Julai lalu adalah seramai 23,911 pengundi.
Menurut The Malaysian Insider, jumlah itu tidak sampai separuh daripada 48,655 orang yang didaftarkan pada bulan Jun.
Pada Jun, DAP mendaftarkan 20,862 orang ataupun 42.8 peratus manakala Umno pula 10,675 orang iaitu 21.5 peratus.
Pengerusi
Jawatankuasa Panel Pendaftaran dan Penyediaan Daftar Pemilih SPR Datuk
Zainal Abidin Mat Said mengakui ada penurunan prestasi parti politik
mendaftar pengundi baru pada Julai lalu.
“Sebab, faktor penurunan kami tidak dapat pastikan. Tetapi DAP masih di depan,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.
Zainal
Abidin berkata, dari segi peratusan pendaftaran pengundi baru Umno
nampaknya ‘semakin agresif’ pada bulan Julai berbanding bulan Jun.
“Pada
Jun, peratusan pengundi baru yang didaftarkan oleh penolong pendaftar
DAP adalah sebanyak 42 peratus berbanding 21 peratus di pihak penolong
pendaftar dari Umno. Pada bulan Julai, DAP merekodkan 38 peratus
manakala Umno pula 30 peratus,” katanya lagi.
Penolong pendaftar dibayar RM1 bagi setiap permohonan baru dikemukakan kepada SPR.
Terdapat 2,378 penolong pendaftar yang dilantik mewakili parti-parti politik di seluruh negara.
Sepanjang Julai lalu PAS menghimpunkan 3,961 pengundi baru berbanding 12,228 pengundi baru sebulan sebelum itu.
Mengikut
pecahan yang dikeluarkan SPR, pada Julai lalu, Umno mendaftar 7,230
pengundi baru, MCA (455), MIC (18), Gerakan (83), DAP (9,106), PAS
(3,961), PKR (1,749), PPP (98), PBS (225), SAPP (20), LDP (68), PBB
(303), SUPP (490), SPDP (93), dan PRS (12). Sepanjang enam bulan pertama
tahun ini, DAP telah mendaftarkan 55,321 pengundi berbanding Umno
54,872.
MCA pula mendaftarkan 2,917 pengundi baru antara Januari
dan Jun lalu, MIC (1,109), Gerakan (476), PAS (36,618), PKR (13,098),
PPP (empat), PBS (686), SAPP (218), Upko (241), LDP (37), PBB (649),
SUPP (972), SPDP (435), PRS (191) dan SNAP (enam).
Dalam pada
itu, Zainal Abidin berkata, SPR telah mewartakan daftar pemilih tambahan
suku kedua 2010 membabitkan pemilih yang terdiri daripada seramai
164,812 permohonan pemilih baru dan 27,149 permohonan pertukaran alamat
pusat mengundi.
Pada masa yang sama kata beliau, SPR telah
mengeluarkan sebanyak 58,303 nama daripada rekod pemilih berdaftar atau
sebab-sebab seperti meninggal dunia dan dilucut hak warganegara.
Daftar pemilih suku kedua itu telah diwartakan hari ini.
Sehubungan
itu kata beliau, dengan pengesahan daftar tambahan suku kedua ini
negara mempunyai seramai 11,381,193 pemilih yang sah berbanding
11,247,225 sebelum ini.
Daripada seramai 11.4 juta itu, 4,344,101
orang merupakan pengundi berusia 40 tahun dan ke bawah manakala
7,037,092 lagi berusia 41 tahun dan ke atas.
“Dengan proses ini, SPR telah dapat mengurangkan bilangan mereka yang mendaftar daripada 4.3 juta kepada 4.2 juta,” katanya.
Secara
perbandingan kata beliau, SPR menerima 191,970 permohonan baru
sepanjang suku kedua 2010 melibatkan April dan Jun lalu berbanding
157,327 pada suku pertama.
“Secara purata kami menerima 170,000
permohonan bagi setiap suku tahun ini setakat ini berbanding 85,000 permohonan setiap suku sepanjang tahun lalu.
“Pada tahun pilihan
raya umum 2008 (yang berlangsung bulan Mac), SPR hanya menerima secara
purata 50,000 berbanding purata 300,000 setiap suku pada tahun 2007,”
katanya.
Oleh itu beliau menjangkakan purata permohonan baru yang
diterima akan meningkat selepas ini mengambil kira pilihan raya umum
dan negeri Sarawak.
sumber: harakahdaily