KUALA LUMPUR: Ekoran keputusan Mahkamah yang
membatalkan bahawa Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) adalah
pertubuhan haram, PAS menyeru para pemimpin BN untuk menarik balik
tuduhan jijik mereka pada Bersih selama ini.
Timbalan Presiden
PAS, Mohamad Sabu berkata keputusan mahkamah itu membuktikan bahawa
Bersih adalah satu pertubuhan yang sah selama ini.
“Memang sah
Bersih bukan diwakili pertubuhan haram dan peserta himpunan tidak
menggunakan senjata,” kata beliau secara ringkas kepada Harakahdaily.
Setiausaha Agong PAS, Datuk Mustafa Ali pula
menyeru semua pemimpin BN, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak menarik balik tuduhan dan cacian jijik mereka terhadap Bersih dan
peserta himpunan Bersih selama ini.
“Segala
yang mereka pernah tuduh secara jijik terhadap Bersih dan para
pesertanya perlu ditarik balik kembali secepat mungkin. Dan ini termasuk
kenyataan Najib yang menggelar peserta Bersih sebagai mufsidun,”
katanya.
Mustafa juga berkata BN seharusnya berhenti daripada mengelirukan rakyat terhadap Bersih.
Mahkamah
Tinggi Kuala Lumpur telah membatalkan pengisytiharan Menteri Dalam
Negeri, Tan Sri Hishammuddin Hussein pada 1 Julai tahun lepas bahawa
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) adalah pertubuhan haram
dan menyalahi undang-undang.
Hakim Datuk Rohana Yusof ketika
membacakan keputusannya hari ini berkata, Bersih telah berjaya
membuktikan kes dalam mencabar pengisytiharan kerajaan.
Beliau juga memutuskan perisytiharan Menteri Dalam Negeri sebagai ‘tercemar’.
“Oleh
itu, kami membenarkan permohonan pemohon (untuk semakan kehakiman
perisytiharan kerajaan) dengan tiada perintah tentang kos,” katanya.
14
Anggota Jawatankuasa Pemandu Bersih yang diketuai oleh Ambiga
Sreenevasan telah menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara dan
kerajaan sebagai responden.
Selain dari Ambiga, plaintif
termasuk Dr Ahmad Farouk Musa, S Arul Prakkash, K Arumugam, Haris
Fathillah Mohamed Ibrahim, Andrew Khoo Chin Hock, Liau Kok Fah, Maria
Chin Abdullah, SP Subramaniam.
Turut serta adalah Toh Kin Woon, Wong Chin Huat, Yeo Yang Poh, Yeoh Yong Woi dan Zaid Kamaruddin.
Pada
1 Julai tahun lalu, Hishammuddin dan Pendaftar Pertubuhan (ROS)
mengisytiharkan gabungan itu menyalahi undang-undang, sebelum
perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai.
Dalam pada itu, Naib
Presiden PAS Mahfuz Omar menyeru Najib, Hishamuddin dan Ketua Polis
Negara Tan Sri Ismail Omar untuk memohon maaf kepada rakyat Malaysia,
terutamanya peserta Bersih dengan serta-merta.
“Semua kes
pendakwaan terhadap peserta Bersih mesti digugurkan, ekoran bermula dari
provokasi tuduhan bahawa Bersih adalah satu pertubuhan haram,” kata
ahli parlimen Pokok Sena itu.