20 December 2010

KARPAL BUAT UMNO TAK TENANG DI TENANG

Kenyataan terbaru Karpal Singh terhadap pendiriannya dalam isu negara Islam di Konvensyen Pakatan Rakyat ke- 2 baru- baru ini benar- benar menggugat ketenangan UMNO/ BN terutama dalam menghadapi pilihanraya kecil di DUN Tenang.

Beliau yang sebelum ini antara pimpinan DAP yang begitu keras menentang penubuhan negara Islam oleh PAS dilihat memperlihatkan kelunakan dan toleransi dalam membicarakan isu ini pada masa kini.

Menyedari bahawa pendiriannya sebelum ini telah membuka peluang kepada UMNO untuk melagakan PAS dan DAP, kini beliau secara terbuka membuka pintu rundingan untuk pemimpin Pakatan Rakyat membincangkan isu ini secara permuafakatan.

Inilah peluang terbaik bagi pimpinan PAS untuk memberikan gambaran sebenar tentang Islam dengan cara yang penuh bijaksana.

Dalam ucapan penggulungan tersebut, beliau sekali lagi menegaskan bahawa DAP akan terus mendukung dan mempertahankan perlembagaan negara termasuk perkara- perkara yang melibatkan kedudukan Islam sebagai agama rasmi.

Permuafakatan yang semakin kukuh yang ditunjukkan oleh PAS, PKR dan DAP ini merupakan berita baik bagi seluruh rakyat Malaysia. Sikap profesional sebeginilah yang perlu ada dalam setiap lubuk hati pemimpin Pakatan Rakyat dalam menyelesaikan isu- isu yang berbangkit.


Sesungguhnya rakyat Malaysia meletakkan harapan yang tinggi terhadap Pakatan Rakyat untuk menyelamatkan Malaysia dari cengkaman dan kerakusan UMNO/ BN dari terus berkuasa.

 Dalam banyak isu sebenarnya DAP telah menunjukkan sikap lunaknya terhadap Islam. Ini dapat dibuktikan dengan insentif- insentif yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan DAP terhadap Islam.

Bagi parti perkauman seperti UMNO, ini merupakan berita buruk buat mereka kerana UMNO akan hanya kekal berkuasa selagi mereka berjaya melagakan PAS dan DAP dalam isu- isu perkauman dan agama.

Kini rakyat perlu sedar siapakah sebenarnya yang menghalang dakwah Islam terhadap golongan bukan Islam demi mempertahankan kuasanya.

"ISLAM ADIL UNTUK SEMUA"