30 October 2009

Selamat Berkonvensyen: Pakatan Rakyat Perak

Di tengah- tengah kemelut politik di negeri Perak, Pakatan Rakyat Perak terus mengorak langkah mengukuhkan ikatan dengan mengadakan konvensyen Pakatan Rakyat di Hotel Syuen, Ipoh pada 31 Oktober 2009.

Sejak berlakunya rompakan kuasa oleh BN di Perak, ikatan ini bertambah kukuh kerana langau- langau yang menjadi duri dalam daging sudah melompat keluar menzahirkan wajah sebenar mereka. Komitmen yang ditunjukkan oleh ADUN- ADUN Pas, DAP dan PKR terbukti apabila mereka senada dalam apa jua isu, sanggup mengharungi bersama apa sahaja rintangan dan cabaran yang direncanakan oleh BN.

Bermula dengan pilihanraya umum ke-12 lagi, Pas, DAP dan PKR Perak sudah merintis jalan persefahaman untuk berhadapan dengan BN dengan nama Barisan Rakyat sehingga berjaya menumbangkan BN. Dari situlah bermulanya titik pertemuan pada peringkat pusat hingga terbinanya gabungan Pakatan Rakyat.

Pada 24 Oktober yang lalu telah diadakan Pelancaran Pemuda Pakatan Rakyat Perak di Lumut yang juga menyaksikan bandar Lumut dilimpahi hampir ratusan anggota polis untuk membuat sekatan bagi menggagalkan program berkenaan.

Pakatan Rakyat Perak juga telah melahirkan ikon- ikon baru politik di Malaysia yang meliputi semua kaum antaranya DSR Nizar, Dato' Ngeh, dan V. Sivakumar.

Pada 28 Oktober yang lalu dalam sidang DUN Perak, seluruh dunia menyaksikan, betapa kukuhnya ikatan ADUN- ADUN Pakatan Rakyat Perak menempuh segala halangan yang dicipta oleh BN. Sekatan- sekatan dan kekasaran yang dilakukan oleh polis (yang menjadi hamba dan pekakas BN) terhadap ADUN- ADUN Pakatan Rakyat tidak sedikit pun melunturkan semangat mereka untuk mempertahankan suara rakyat.

Semakin kuat tekanan yang dilakukan oleh BN, semakin kukuh perpaduan terjalin dalam Pakatan Rakyat Perak.

Walaupun media arus perdana mencanangkan keretakan dan perpecahan dalam parti- parti komponen Pakatan Rakyat, namun ia tidak memberikan kesan terhadap kebangkitan Pakatan Rakyat di bumi Perak.

Ayuh rapatkan saf, kukuhkan jama'ah, dan bersedia untuk kembali memimpin di negeri Perak Darul Ridzuan.

"SELAMAT BERKONVENSYEN"