29 November 2009

AIDILADHA DISAMBUT MERIAH DI MARKAZ PAS SAUK

















Biasanya di sebelah Semenanjung Malaysia (Barat) sambutan Aidilfitri lebih meriah dibandingkan dengan Aidiladha. Berbeza pula dengan di sebelah pantai timur sambutan Aidiladha lebih meriah dibandingkan dengan Aidilfitri.

Malah sepatutnya sambutan Aidiladha lebih meriah dibandingkan dengan Aidilfitri kerana Aidiladha merupakan himpunan besar- besaran umat Islam di Makkatul Mukarromah. Semangat himpunan besar- besaran itu sepatutnya diraikan oleh seluruh umat Islam di dunia yang berada di luar Kota Suci Makkah.

Untuk menghidupkan suasana itu Pas Cawangan Sauk telah mengatur program untuk pengisian sambutan Aidiladha.

Bermula pada malam 10 zulhijjah lagi, para jamaah memenuhi segenap ruang Markaz Sauk untuk sama- sama bertakbir dan bertahmid. Kemudian diiukuti dengan kuliah maghrib yang disampaikan oleh Ustaz Jamnul Azazi b. Hj. Mulkhan. Kebiasaannya pada tahun- tahun sebelumnya pada malam hari rayanya diadakan program ziarah dan takbir dari rumah ke rumah.

Pada keesokan paginya, diadakan solat sunat Aidiladha di markaz Pas Sauk yang dipimpin oleh Ustaz Mohammad Yassin. Selepas solat dan khutbah Aidiladha, para jamaah menjamu selera di perkarangan markaz sambil bertanya khabar dengan saudara- mara serta sahabat handai yang pulang dari perantauan.

Pada sebelah pagi Sabtu pula, dijalankan majlis penyembelihan Qurban di perkarangan markaz yang dikendalikan oleh Pas Sauk. Alhamdulillah, masyarakat setempat terus memberikan kepercayaan kepada pihak Pas Sauk untuk mengendalikan urusan penyembelihan Qurban yang diketuai oleh Ustaz Mohammad Yassin sendiri. Pada kali ini sebanyak 5 ekor lembu telah ditumbangkan.

Kehadiran penduduk setempat serta sahabat handai yang pulang dari perantauan memeriahkan lagi majlis berkenaan. Suasana ukhuwwah serta semangat gotong- royong jelas tergambar apabila masing- masing datang untuk memberikan sumbangan tenaga serta kepakaran tanpa mengira status, tua atau muda.

Majlis pembahagian Qurban selesai dalam jam 12.00 tgh diakhiri dengan jamuan makan tengahari kepada semua petugas dan hadirin.

Pada hari Ahadnya pula, dijalankan Majlis Sambutan Aidiladha serta majlis Berkhatan beramai- ramai di Markaz Pas Sauk jam 2.30 ptg. Majlis dimulakan dengan bacaan tahlil dan doa selamat yang dipimpin oleh Ustaz Mohammad Yassin dan Ustaz Azizan Desa.

Kemudian peserta- peserta berkhatan diarak dengan diiringi Salawat dan bunga manggar ke perkarangan Markaz. Kemudian hadirin berpeluang mendengar ucapan dari Ustaz Mohammad Yassin, tazkirah oleh Ustaz Azizan Desa serta ucapan Perasmian oleh YB Hj. Zainuddin.

Kira- kira jam 3.30 petang jamuan Aidiladha bermula diikuti dengan majlis berkhatan.

"PAS Cawangan Sauk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha serta terima kasih kepada semua pihak yang sudi memberikan sumbangan dalam menjayakan majlis ini".