27 July 2010

GURU BERPOLITIK: Masih Banyak Isu Pendidikan Yang Belum Selesai

Tindakan kerajaan memberikan lesen kepada guru DG 41 dan DG 48 berpolitik sudah pasti mempunyai kesan positif dan negatifnya. Antara alasan yang diberikan ialah guru merupakan golongan yang dihormati oleh masyarakat dan boleh memainkan peranan dalam senario politik negara.


Namun, kebenaran ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana selama ini pun ramai dalam kalangan guru yang bergiat aktif dalam politik sama ada dalam apa jua parti sekali pun.

Walaupun ia jelas melanggari perintah am, namun yang dikenakan tindakan hanyalah guru- guru yang bergiat dalam parti- parti politik dalam Pakatan Rakyat. Guru- guru berkenaan walaupun menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam perkhidmatan namun semua itu tidak terkecuali daripada dikenakan tindakan tatatertib. Antaranya ditukarkan tempat kerja, ditahan kenaikan pangkat dan sebagainya.

Berbeza pula layanan yang diberikan kepada guru- guru yang bergiat aktif dalam UMNO/ BN. Mereka seringkali melakukan kerja- kerja politik dalam waktu persekolahan tanpa perlu mangambil sebarang cuti. Contohnya bila menghadiri Perhimpunan Agung UMNO, kursus- kursus UMNO yang dikendalikan oleh JASA dan sebagainya.

Guru- guru UMNO bebas keluar masuk sekolah atas urusan UMNO sehinggakan mengabaikan tanggungjawab sebenarnya di sekolah.

Pihak pentadbir hanya memejamkan mata kerana mereka ini mempunyai "kuasa" untuk menukarkan pihak pentadbir yang cuba mengambil tindakan terhadap mereka. Yang lebih menyedihkan lagi ada pihak pengetua/ guru besar sekolah yang menjadikan guru- guru UMNO ini sebagai anak emas untuk mendapatkan peruntukan daripada ADUN/ Ahli Parlimen BN untuk program- program sekolah. Akibatnya mereka sudah termakan budi dan tidak lagi mampu untuk mengambil tindakan di atas sebarang kesalahan guru- guru berkenaan

Pernah berlaku sebelum ini, di mana seorang pengetua di salah sebuah sekolah di daerah Kuala Kangsar telah ditukar 24 jam kerana tidak membenarkan kawasan sekolahnya digunakan oleh UMNO Bahagian Padang Rengas untuk menjalankan program.

Dalam usaha kerajaan yang ingin memartabatkan sistem pendidikan,  penglibatan guru dalam politik hanya akan menambahkan masalah pendidikan yang sedia ada. Masalah- masalah yang belum dapat diselesaikan seperti buta huruf, ponteng sekolah, buli, vandelisme, samsing, mat rempit, pelajar yang mengandung luar nikah, dadah, kurang ajar, merokok, pil khayal, hendonisme dan seribu satu masalah yang masih tertunggak perlukan perhatian khusus daripada guru terutamanya guru besar/ pengetua.

Dalam keadaan sekarang pun masalah tersebut gagal diselesaikan apatah lagi apabila guru- guru melibatkan diri dalam politik yang memerlukan komitmen masa tanpa mengira waktu. Sudah pastilah tumpuan terhadap sekolah akan berkurangan, mesyuarat parti sampai jauh malam, sekiranya program parti pada waktu sekolah sudah pasti guru- guru ini akan mengambil cuti.

Oleh itu, saya berpendapat penglibatan guru dalam politik lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan dalam sistem pendidikan negara walaupun mungkin mendatangkan keuntungan kepada sesebuah parti politik.