25 July 2010

HARUSSANI PATUT LETAK JAWATAN

Kewibawaan mufti Perak semakin tercalar sejak penglibatannya dalam isu- isu politik selepas pilihanraya umum (PRU) ke-12. Walaupun menafikan berkali- kali tidak berpihak kepada mana- mana parti politik, tetapi segala tindakan dan kenyataannya jelas membuktikan bahawa beliau amat sayangkan UMNO.

Bermula dengan kenyataan yang dipersoalkan selepas Barisan Nasional (BN) tumbang di negeri Perak pada PRU ke- 12, beliau menjadi jurucakap kepada UMNO untuk memujuk pimpinan  PAS Perak untuk  membentuk kerajaan bersama dengan UMNO/BN di Perak.

Tembelangnya pecah apabila mantan Pesuruhjaya PAS Perak al- Fadhil Ustaz Ahmad Awang mendedahkan bahawa beliau ada dihubungi oleh mufti Perak untuk membentuk kerajaan bersama UMNO/BN.

Semasa Dato' Seri Nizar memimpin Perak, mufti Perak merupakan antara pihak yang menjadi duri dalam daging kepada kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat. Mengapa Harussani terlalu marah dengan pimpinan Pakatan Rakyat di Perak? Jawapan itu ada pada pimpinan Pakatan Rakyat Perak.

Sehinggalah berlaku rampas kuasa oleh BN di Perak, mufti Perak adalah antara individu yang amat gembira dengan tragedi tersebut. Buktinya, beliau sanggup menggadaikan perinsip dan maruahnya sebagai mufti apabila menghadiri Program Jom Heboh di Lumut sedangkan sebelum itu beliau dengan tegas mengatakan bahawa Program Sure Heboh adalah haram.

Kini beliau terus mengkritik PAS dalam program- program ceramahnya terutamanya di luar negara termasuklah program bersama pelajar- pelajar Malaysia di Australia baru- baru ini.

Kini, beliau pula menawarkan diri untuk menjadi orang tengah untuk menyatukan PAS dan UMNO...

Terkini, beliau mendedahkan ada pimpinan PAS yang berjumpa beliau berkaitan dengan isu perpaduan PAS- UMNO. Dengan penuh merendah diri beliau merahsiakan nama pimpinan PAS tersebut dari pengetahuan penduduk Malaysia di tanahair, namun lain pula iramanya apabila di luar negara..

Cukuplah segala putar alam dan sandiwara yang telah beliau lakukan. Demi menjaga nama baik institusi mufti di Malaysia beliau sepatutnya meletak jawatan dan menumpukan sepenuh masa untuk berjuang dalam UMNO.