GUA MUSANG: Umno benar-benar kehilangan rentak dan strategi bagi mencapai misi merampas Dun Galas apabila segala peluru yang dihambur tidak mengenakan sasarannya. Lebih mengaibkan lagi apabila fitnah yang dilemparkan kononnya calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed berkhalwat tersasar jauh apabila perempuan yang didakwa sebenar ibunya, Ramelah Mat Jusoh.
Fitnah tersebut disebarkan melalui laman web Umno online kemudian dipetik pula oleh sebuah agensi berita. Bagaimanapun Dr Zulkefli tampil menafikan dakwaan tersebut sambil menjelaskan perempuan yang disebut nama sebagai Ramelah Mat Jusoh adalah ibunya, manakala isterinya pula Zainab Jalal. Beliau juga bercadang mengambil tindakan mahkamah kerana umno online cuba memfitnahnya.
Selain itu Umno menyebarkan dakwaan liar mengatakan Dr Zul tidak menyerahkan penyata pilihan raya 2008 ketika bertanding di kerusi parlimen Gua Musang. Dakwaan itu juga jelas meleset jauh apabila Dr Zul sudah lama menyerahkan penyata pilihan raya. Mengulas perkara itu,
Pengarah Operasi PAS Pilihan Raya Kecil Galas, Abdul Fatah Harun berkata, nampaknya Umno begitu kelam kabut sangat sekarang sehingga segala dakwaan yang dilemparkan meleset. “Umno sudah benar-benar
kehabisan modal untuk berdepan dengan jentera kempen PAS sehingga segala dakwaan yang dilemparkan tidak mengena,” katanya di sini.
Umno juga menaikkan banner dan menulis perkataan ‘Ku Li arkitek Gua Musang’ dan ‘Sokong Parti Ku Li’ sehingga menimbulkan tanda tanya di kalangan rakyat di sini. Ini kerana kata mereka Ku Li dihina begitu rupa sebelum ini sehingga ada pihak mendesak supaya diambil tindakan terhadapnya kerana menyokong kerajaan negeri menuntut royalti petroleum.
Malah pada pemilihan Umno dua tahun lepas hasrat Ku Li bertanding kerusi presiden Umno dihalang sehingga mana-mana bahagian yang bercadang mencalonnya ditekan. Lebih malang lagi nasib Ku Li apabila terpaksa menjelaskan ketiadaannya mengiringi calon Barisan Nasional (BN), Abdul Aziz Yusoff ke pusat penamaan calon semalam dianggap sebagai satu kebiasaan yang menjadi amalannya.
Menurutnya amalan itu merupakan amalan tradisinya selama 35 tahun sebagai ahli Parlimen Gua Musang, sedang pemimpin Umno lain menyifatkan sebagai menjejaskan moral mereka.