Isu pendirian hukuman hudud antara PAS dan DAP muncul kembali. Ia akan tenggelam timbul dari semasa ke semasa. Itulah senjata simpanan UMNO untuk memecah- belahkan Pakatan Rakyat khususnya PAS dan DAP. UMNO akan terus menggunakan isu ini melalui media yang dikuasainya. Senjata ini akan dihunusnya dalam waktu- waktu tertentu untuk membuktikan kepada rakyat bahawa hubungan PAS dan DAP merupakan hubungan yang longgar dan tak mampu bertahan lama?
Sejarah telah membuktikan bahawa isu ini telah berjaya memecahkan hubungan PAS dan DAP dalam Barisan Alternatif sebelum ini. DAP yang terperangkap dengan mainan politik UMNO akhirnya meninggalkan Barisan Alternatif sekaligus memberikan keuntungan politik kepada UMNO.
Sejak tertubuhnya Pakatan Rakyat isu ini telah cuba beberapa kali dimainkan oleh UMNO namun setakat ini ia belum membuahkan hasil. Segala- galanya terpulang kepada pucuk pimpinan kedua- dua belah parti untuk menangani isu ini dengan bijaksana. Sekiranya tersilap langkah, nasib yang menimpa Barisan Alternatif bakal berulang.
Dari suatu sudut yang lain bukanlah suatu keganjilan sekiranya Karpal begitu lantang menolak undang- undang hudud. YB Salahuddin Ayub ketika ucapannya dalam konvensyen Pas Perak baru- baru ini juga ada menyentuh tentang isu ini. Antara ucapannya beliau menyatakan "kalau Karpal tidak menolak hukum hudud... bukanlah Karpal namanya (merujuk kepada Karpal yang bukan beragama Islam)".
Begitu juga sekiranya mana- mana pemimpin Pakatan Rakyat yang bukan beragama Islam menolak undang- undang hudud, apa nak dihairankan kerana mereka belum mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah.
Persoalan pokoknya di sini ialah apakah pendirian UMNO tentang perlaksanaan hudud di Malaysia. Setelah setengah abad UMNO diberi mandat untuk memerintah Malaysia belum ada sebarang petanda atau perancangan untuk meletakkan undang- undang Allah ini di tempatnya.Malah pemimpin- pemimpin UMNO hanya berdolak dalih dalam menjawab isu ini apabila dikemukakan malah sanggup mengeluarkan pandangan- pandangan yang jelas bertentangan dengan pendirian aqidah.
Apa yang dilakukan oleh pimpinan UMNO bukannya untuk memberikan penerangan tentang rahsia keadilan di sebalik undang- undang hudud tetapi sengaja menimbulkan rasa ketakutan dalam kalangan bukan Islam terhadap undang- undang hudud.
Sikap UMNO inilah yang sebenarnya menjauhkan orang- orang bukan Islam untuk mengenali Islam.