04 August 2010

SUKAN PASTI, KAWASAN PADANG RENGAS



Program Sukan PASTI, Kawasan Padang Rengas telah berlangsung dengan jayanya pada 31 Julai 2010 (Sabtu) baru- baru ini di padang Awam Kg. tanah Merah, Lubuk Merbau, Kuala Kangsar.

Acara dimulakan dengan upacara perbarisan lintas hormat oleh kontinjen- kontinjen PASTI yang mengambil bahagian yang terdiri daripada PASTI al- Ansar, Nurul Jihad, Assyafi'eah, al- Ehsan, Sheikh al- Marbawi dan Hidayatul Quran.

Seterusnya diikuti dengan bacaan ikrar, nyanyian lagu PASTI, ucapan oleh Ketua Dewan Pemuda Pas Kawasan dan diikuti dengan majlis perasmian oleh al- fadhil Ustaz Mohammad Yassin b. Mohd Yusof, Timbalan YDP Pas Kawasan Pdg. Rengas.

Antara acara sukan untuk murid- murid PASTI ialah lari pecut 50 meter, mencari telur penyu, isi air dalam botol dan tarik bola dalam gelung rotan.

Selain daripada itu diadakan juga acara untuk kanak- kanak bawah 6 tahun (bukan murid PASTI) lari 50 meter lelaki & perempuan.

Acara tradisi Sukan PASTI untuk remaja, mendapat sambutan yang amat menggalakkan iaitu acara motosikal lambat telah menarik seramai 9 penyertaan remaja tempatan.

Acara bagi ibu bapa dan guru- guru PASTI memeriahkan lagi suasana sukan pada hari itu dengan acara 'jet kertas', 'memasukkan benang ke dalam jarum' dan 'membaling bola ping pong'.

Acara penyampaian hadiah mengakhiri program pada hari tersebut oleh  Timbalan YDP kawasan dan pimpinan pemuda kawasan. PASTI Assyafi'ah telah muncul Johan keseluruhan sukan PASTI bagi tahun 2010.

Tahniah kepada Dewan Pemuda Pas Kawasan, Guru- Guru Pasti, Ibu bapa, JKKK Kg. Tanah Merah dan semua pihak yang telah menjayakan program untuk DUTA- DUTA KECIL pewaris perjuangan Islam generasi akan datang.